Padah miliki imej, video Daesh

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Seorang tukang cuci yang menyimpan imej dan video berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbit, kononnya hanya untuk tontotan di masa lapang dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.


Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Firdaus Saibi, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki 25 keping imej dan 43 video dalam telefon bimbit  yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh atau yang mempunyai unsur perbuatan keganasan.


Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata keterangan tertuduh yang memiliki imej dan video semata-mata untuk memenuhi ruang di masa lapang dan tidak mengetahui memiliki item itu adalah satu kesalahan undang-undang, tidak boleh dijadikan alasan.


“Memiliki imej, video yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh adalah satu kesalahan, tidak kira apa tujuan sekalipun pemilikan itu dibuat. Kerajaan telah meuar-uarkan tentang segala bentuk perbuatan sama ada menyokong secara terang-terangan atau memiliki gambar yang boleh mengancam ketenteraman negara.


Pihak berkuasa keselamatan negara amat memandang serius apa bentuk sekalipun agar rakyat di negara ini terhalang daripada terlibat dengan kegiatan Daesh,” katanya yang memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 21 Mac lepas.


Anak keempat daripada enam beradik itu didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Bangunan Utama Mutiara Motors Resort Sdn Bhd, di  Kampung Sedili Kechil, Kota Tinggi, Johor pada 4.20 petang, 21 Mac 2017 mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.


Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota polis membuat tangkapan terhadap tertuduh dan merampas sebuah telefon bimbit milik tertuduh.


Hasil analisis telefon tersebut mendapati terdapat 25 keping gambar dan 43 video yang memaparkan lambang Daesh dan mengandungi unsur kumpulan pengganas Daesh serta kandungan item tersebut sangat berkait rapat dengan gerakan, ideologi dan propaganda Daesh.


Terdahulu ketika rayuan Mohamad Firdaus yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia telah menyesal dengan perbuatannya dan tidak mengetahui memiliki gambar dan video berkaitan Daesh untuk menonton di masa lapang adalah satu kesalahan.


“Saya berjanji tidak akan terlibat lagi dengan apa-apa yang berkaitan dengan Daesh, dalam sekecil-kecil perkara sekalipun. Saya mohon agar hukuman saya dijalankan bermula dari tarikh ditangkap sebab saya tak sanggup nak lalui kehidupan di penjara. Maafkanlah saya,” katanya.


Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin@ Baharum memohon mahkamah menjatuhkan hukuman pemenjaraan yang panjang terhadap tertuduh bagi menghindarkan orang awam lain turut terlibat dengan kegiatan keganasan.- Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]