Pelaksanaan projek talian grid tidak memuaskan

in Edisi Sabah Sarawak by


KUALA LUMPUR – Projek talian grid di bawah Program Bekalan Elektrik Luar Bandar di Sabah mencatatkan prestasi tidak memuaskan dengan beberapa kelemahan yang menjejaskan kecekapan pelaksanaan projek dikesan menerusi audit ke atas lapan daripada 22 projek. 


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, pemantauan terhadap pelaksanaan projek talian grid adalah tidak memuaskan disebabkan kekangan sumber manusia di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).


Setakat 30 Jun lalu, satu daripada lapan projek itu telah melangkaui tarikh siap asal yang dibenarkan sehingga melebihi dua tahun dan dikenakan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) yang dianggarkan berjumlah RM1.56 juta.


Empat lagi projek untuk penyambungan bekalan elektrik ke 2,332  daripada 6,891 buah rumah yang disasarkan belum dan lewat dimanfaatkan oleh penduduk antara setahun lapan bulan hingga tiga tahun lapan bulan.


Sementara itu, penyambungan talian perkhidmatan elektrik hanya dibuat ke lapan buah rumah berbanding 40 buah rumah mengikut kontrak serta pemasangannya telah dibuat kepada 60 buah rumah yang belum siap atau tidak berpenghuni daripada 343 rumah yang dilawati.


Bagi menambah baik pengurusan projek talian grid itu, Ketua Audit Negara menyarankan agar KKLW meningkatkan komunikasi dan koordinasi dengan agensi terlibat dalam pelaksanaan projek bekalan elektrik supaya masalah seperti penyediaan skop kerja yang tidak sesuai dapat dielakkan, projek fizikal dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan golongan sasar dapat menikmati kemudahan elektrik tanpa kelewatan.


Antara penyelesaian lain ialah memperluaskan skop projek talian grid dengan pendawaian elektrik di dalam rumah bagi penduduk daripada kategori miskin tegar bagi menangani isu ketidakmampuan rakyat membiayai kos pendawaian elektrik di dalam rumah.


KKLW juga boleh melaksanakan kerjasama dengan pejabat daerah, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan agensi lain untuk mengenal pasti rumah yang perlu diberi kemudahan bekalan elektrik.


Penglibatan SESB secara langsung  dalam pelaksanaan dan pemantauan projek talian grid itu juga boleh membantu projek berkenaan memandangkan SESB mempunyai kepakaran khusus berkaitan dengan bekalan elektrik selain dapat mengelakkan sebarang masalah timbul apabila projek telah siap dan dibayar sepenuhnya. – Bernama  


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]