Pendapatan janaan sendiri RM90.629 bilion

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pendapatan janaan sendiri oleh 126 Badan Berkanun Persekutuan di bawah 23 kementerian meningkat tiga peratus kepada RM90.629 bilion pada tahun 2016 berbanding RM88.028 bilion pada tahun 2015.


Pendapatan janaan sendiri merupakan hasil yang diperoleh daripada aktiviti seperti pelaburan dalam syarikat subsidiari, ekuiti, sekuriti, bon, pengurus dana, simpanan tetap, pemberian pinjaman, yuran pengajian serta jualan produk dan perkhidmatan.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016, yang dikeluarkan hari ini, Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Kewangan mencatatkan pendapatan janaan sendiri tertinggi berjumlah RM62.257 bilion.


“Ini diikuti oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebanyak RM7.110 bilion, Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM6.172 bilion, Kementerian Sumber Manusia sebanyak RM4.541 bilion manakala kementerian lain mencatat pendapatan janaan sendiri berjumlah RM10.550 bilion,” kata laporan itu.


Analisis audit  terhadap pendapatan janaan sendiri Badan Berkanun Persekutuan mengikut kementerian mendapati sembilan kementerian mencatatkan peningkatan pendapatan janaan sendiri manakala 14 kementerian menunjukkan penurunan penerimaan geran mengurus pada tahun 2016.


Badan Berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencatatkan peratus peningkatan pendapatan janaan sendiri tertinggi sebanyak 105.7 peratus pada 2016 berbanding 2015.


Menurut laporan itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia menyumbang peratus peningkatan ketara sebanyak 1,650.1 peratus atau RM502.40 juta pada tahun 2016 disebabkan oleh hasil faedah deposit di bank.


Analisis Audit juga mendapati Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memperoleh pendapatan janaan sendiri tertinggi sejumlah RM46.754 bilion pada tahun 2016.


Ini diikuti oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) sebanyak RM7.641 bilion, Pertubuhan Keselamatan Sosial sebanyak RM4.475 bilion, Lembaga Tabung Haji sebanyak RM3.481 bilion manakala Badan Berkanun Persekutuan lain mencatatkan pendapatan janaan sendiri berjumlah RM28.279 bilion.


Secara keseluruhan, laporan mendapati 49 Badan Berkanun Persekutuan mencatatkan peningkatan pendapatan janaan sendiri manakala 77 Badan Berkanun Persekutuan menunjukkan penurunan pendapatan janaan sendiri pada tahun 2016.


Sementara itu, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam mencatatkan penurunan pendapatan janaan sendiri sebanyak 99.7 peratus disebabkan oleh penurunan hasil cukai dan Hasil Dari Urusniaga Bukan Pertukaran manakala pendapatan janaan sendiri bagi Institut Sukan Negara turun sebanyak 93.5 peratus disebabkan oleh lain-lain pendapatan, lain-lain perkhidmatan, pulangan balik perbelanjaan dan terimaan bukan hasil yang lain.  Bagi Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah, pada tahun 2016, pendapatan janaan sendiri oleh sembilan Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah berjumlah RM1.154 bilion susut sebanyak RM0.838 bilion atau 42.1 peratus berbanding RM1.992 bilion pada 2015.


Kumpulan Wang Amanah Negara mencatatkan pendapatan janaan sendiri tertinggi berjumlah RM712.58 juta dan diikuti oleh Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembentungan berjumlah RM386.38 juta manakala Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah lain mencatatkan pendapatan berjumlah RM393.46 juta.


Tiga Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah mencatatkan peningkatan bagi pendapatan janaan sendiri pada 2016 berbanding 2015 iaitu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan dan Kumpulan Wang Jubli Perak Pulau Pinang dan Seberang Perai.


Sementara itu, laporan tersebut menyebut sebanyak enam Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah menunjukkan penurunan pada 2016 manakala tiada pendapatan janaan sendiri diterima/dijana oleh Kumpulan Wang Warisan pada 2016.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]