Penemuan bot petunjuk baik

in Edisi by


KOTA BHARU – Penemuan bot yang dipercayai milik pesara guru dikhuatiri lemas dianggap petunjuk bagi operasi mencarinya.


Nelayan yang juga ahli Kelab Sukarelawan Perikanan (Super), Mohd Zaki Mohd Yusof, 35, berkata, kira-kira jam 2 petang hari ini, abang iparnya, Isa Hassan, 60, memberitahu ada menemui bot terbalik di Pantai Kundor.


“Ketika itu, abang ipar saya, Isa, sedang berjalan di tepi pantai dan ternampak ada sebuah bot terapung di tengah lautan.


“Pantai Kundor ini terletak kira-kira satu kilometer dari Kuala Besar iaitu lokasi yang dikatakan ‘cikgu’ terjatuh sebelum hilang 8 November lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.


Pada 8 November lalu, bekas guru itu, mangsa, Wan Husin Wan Abdullah, 62, belum ditemui manakala rakannya, Wan Zaidi Wan Hussin, 57, sempat berenang naik ke darat semasa keluar memancing kira-kira jam 4.30 petang hari tersebut di Kuala Besar, Pantai Cahaya Bulan (PCB).


Mohd Zaki berkata, dari Pantai Kundor, bot tersebut kemudiannya dibawa ke Pantai Mek Mas dan dinaikkan di situ.


Menurutnya, bersama dengan bot tersebut, terdapat tali yang dipercayai ditambat mangsa bagi mengelak dia lemas.


“Hanya bot sahaja ada di situ, manakala mangsa masih tidak dijumpai,” katanya.


Penemuan bot itu disahkan isteri Wan Husin, Samariah Yusoff, 59, dan anak lelakinya hadir melihat bot tersebut.


Sementara itu, anak sulung mangsa, Wan Noraini, 35, berkata, sebaik sahaja dimaklumkan bot itu, ibu dan tiga adik-beradiknya bergegas ke sana untuk pengesahan.


“Alhamdulillah, kami sekeluarga anggap penemuan bot ini satu petanda yang memberi harapan ayah dapat ditemui dalam masa terdekat.


“Kami tidak putus mengadakan solat hajat dengan doa supaya ayah ditemui semula,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]