Prestasi kewangan meningkat 6.9 peratus

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Prestasi kewangan badan berkanun Persekutuan di bawah 23 kementerian meningkat sebanyak 6.9 peratus atau RM7.06 bilion kepada RM109.23 bilion berbandingRM102.17 bilion pada 2015.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 (Pengesahan Penyata Kewangan Badan Berkanun Persekutuan, Kumpulan Wang Persekutuan, Akaun Amanah dan Agensi Lain), daripada jumlah itu, pendapatan janaan sendiri adalah RM90.63 bilion, geran mengurus (RM13.54 bilion) dan pelunasan geran lain (RM5.07 bilion).


“Badan berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Kewangan mencatatkan pendapatan tertinggi​​​​​​​(RM62.44 bilion), Kementerian Pendidikan Tinggi (RM17.24 bilion), Jabatan Perdana Menteri (RM6.64 bilion) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (RM6.33 bilion),” menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.


Menurutnya, pendapatan badan berkanun Persekutuan mengikut kementerian pula mendapati 14 kementerian mencatatkan peningkatan manakala sembilan yang lain menunjukkan prestasi menurun pada 2016, kata laporan itu.


Peratus peningkatan pendapatan tertinggi bagi badan berkanun Persekutuan di bawah Kementerian​​​​​​​Perdagangan Antarabangsa dan Industri adalah sebanyak 55.5 peratus iaitu RM1.18 juta pada 2016 berbanding RM756.80 juta bagi tahun sebelumnya.


“Ia disebabkan  oleh peningkatan Hasil daripada Urusniaga Bukan​​​​​​​ Pertukaran oleh Lembaga​​​​​​​ Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) iaitu penerimaan geran pembangunan berjumlah RM420.40 juta bagi 2016,” kata laporan itu.


MIDA juga mencatatkan peratus peningkatan pendapatan tertinggi sebanyak 282.6 peratus didorong penerimaan geran kerajaan untuk mengurus, pembangunan dan akaun khas manakala Perbadanan PR1MA Malaysia meningkat 212.1 peratus dengan peningkatan jualan rumah bermula 2016 serta peningkatan pendapatan operasi bagi yuran tender dan tapak pameran.


Laporan itu berkata, analisis  audit bagi badan berkanun​​​​​​​ Persekutuan di bawah Kementerian Kewangan​​​​​​​ mendapati Kumpulan​​​​​​​ Wang Simpanan Pekerja mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM46.75 bilion, diikuti Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (RM7.64 bilion), Majlis Amanah Rakyat (RM4.68 bilion), Pertubuhan Keselamatan Sosial (RM4.47 bilion) dan badan berkanun lain (RM45.36 bilion).- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]