Projek gelanggang sukan KBS capai objektif

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Projek Gelanggang Sukan di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencapai objektif dalam menyediakan kemudahan sukan kepada rakyat Malaysia khususnya untuk lebih terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan dan kecerdasan.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini, sehingga Mac lalu sejumlah RM114.87 juta daripada RM253.89 juta diperuntukkan kepada KBS melalui Rancangan Malaysia Ke-9 dan Ke-10 dibelanjakan bagi melaksana 10 jenis projek Gelanggang Sukan merangkumi 41 projek secara keseluruhan.


“Pengauditan yang dijalankan antara November 2016 hingga Mac 2017 mendapati objektif projek bagi menyediakan kemudahan sukan dicapai.


“Pengurusan projek secara keseluruhannya memuaskan, di mana projek disiapkan dalam tempoh lanjutan masa, pelantikan kontraktor dibuat selaras dengan peraturan semasa dan status pemilikan projek dibuat secara teratur,” menurut laporan itu.


Bagaimanapun, menurut laporan tersebut masih terdapat kelemahan dalam pengurusan projek perlu diberi perhatian antaranya kajian kesesuaian lokasi projek, sebahagian kerja tidak mematuhi spesifikasi serta kualiti kerja pembinaan dan kelemahan daripada aspek pembayaran.


“Didapati dua daripada sembilan projek pembinaan Gelanggang Futsal terletak jauh dari kawasan tumpuan masyarakat serta sukar diakses,” menurut laporan itu.


Selain itu, sebahagian kerja yang menelan belanja sejumlah RM174,113 tidak dilaksana mengikut spesifikasi dan kualiti kerja pembinaan oleh kontraktor.


“Didapati juga sejumlah RM31,040 dibayar kepada kontraktor bagi kerja-kerja tidak dilaksana selain kontraktor menuntut bayaran untuk komponen-komponen yang dibayar (bayaran berulang) berjumlah RM22,250 dan akuan sumpah siap kerja bagi dua projek bernilai RM337,575 ditandatangani sebelum penyiapan kerja pembinaan sebenar,” menurut laporan itu.


Justeru, bagi memastikan kelemahan dibangkitkan tidak berulang pada masa hadapan, beberapa cadangan disyorkan iaitu kelemahan di peringkat perancangan dikaji semula secara menyeluruh bagi memastikan kelemahan khususnya bagi pemilihan lokasi diminimumkan agar matlamat pembinaan projek dapat dicapai dalam tempoh ditetapkan.


“Setiap kerja dilaksanakan dipantau oleh pegawai yang bertanggungjawab dengan mengikut arahan dan garis panduan ditetapkan, dan pegawai yang cuai perlu dikenakan tindakan selain menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi membincangkan dan menangani kelemahan,” menurut laporan itu.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]