Projek infrastruktur pesawat gagal disiapkan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Pertahanan perlu membuat penilaian teliti terhadap keupayaan kontraktor yang melaksana projek pembinaan Infrastruktur bagi pesawat EC725 di Pangkalan Udara Tentera Udara  Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan agar dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini, pihak terbabit disyorkan menjalankan pemantauan yang berterusan terhadap kontraktor dan perunding supaya tiada perubahan kerja yang melibatkan penambahan kos projek dilakukan tanpa terlebih dahulu mendapatkan kelulusan JKR.


Selain itu, pihak terbabit perlu memastikan pengujian dibuat terhadap keseluruhan pendawaian dan peralatan yang telah dipasang/dibekalkan bagi menentukan keadaan semasa peralatan tersebut sama ada masih boleh digunakan atau memerlukan pembaikan dan pendawaian semula.


“Pengauditan yang dijalankan antara bulan April hingga Julai 2017 mendapati objektif Projek Pembinaan Infrastruktur Bagi Pesawat Helikopter EC725 di Pangkalan Udara TUDM Kuantan tidak tercapai kerana projek gagal disiapkan dan kontraktor telah ditamatkan kontrak pada 8 Dis 2016.


“Pengurusan projek pembinaan juga tidak memuaskan kerana berlaku beberapa kelemahan yang menjejaskan kecekapan pelaksanaannya,” menurut laporan itu.


Kementerian Pertahanan telah merancang projek pembinaan infrastruktur dan hangar bagi pesawat EC725 sejak tahun 2010 serentak dengan perancangan pembelian pesawat EC725 bagi tujuan pengoperasian, penyenggaraan dan penempatan pesawat tersebut.


Sebanyak 12 buah pesawat bernilai RM1.43 bilion telah diterima secara berperingkat bermula pada bulan Disember 2012 hingga Mei 2014.


Projek ini dilaksanakan melalui tender terbuka secara reka dan bina dan syarikat yang berjaya mendapat tawaran tender adalah Bella Builders Sdn. Bhd. (BBSB) dengan nilai kontrak berjumlah RM108.89 juta (nilai kontrak selepas pelarasan harga RM127.29 juta).


Tempoh kontrak bermula pada 11 Oktober 2011 hingga 11 Mac 2013 bagi penyiapan separa dan 14 Ogos 2013 bagi penyiapan penuh dan selepas lanjutan masa diluluskan, tarikh penyiapan separa adalah pada 22 Mei 2014 dan penyiapan penuh pada 31 Januari 2014, namun projek ini gagal  disiapkan dan ditamatkan pada 8 Dis 2016.


Pihak JKR Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP) merupakan agensi pelaksana. – Bernama




 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]