
TELOK AIR TAWAR – Jika dahulu kudratnya digunakan untuk membantu keluarga dengan bekerja di sebuah kedai pendawaian elektrik, namun kini segalanya berubah setelah disahkan menghidap kanser limfa.
Mohd Riduan Mohd Sabri, 31, berkata, dia disahkan menghidap kanser beberapa bulan lalu selepas kerap diserang demam.
“Badan mula rasa perubahan pada September lepas, masa tu saya masih bekerja. Badan saya kerap lemah dan demam berlarutan. Ingatkan demam biasa, sekadar ambil ubat di klinik. Saya tak dapat lagi pemeriksaan lanjut masa tu,” katanya.
Menurutnya, seminggu selepas diserang demam yang agak teruk, muncul benjolan sebesar guli di lehernya.
“Benjolan tu mula-mula kecil saja, tapi lama-lama dok rasa makin besar. Jadi saya terus dapatkan rawatan di hospital. Masa tu saya baru dapat tahu hidap kanser ini.
“Hanya ALLAH tahu perasaan saya masa tu. Tapi saya bersyukur sebab keluarga terutama ibu ayah tak putus-putus beri semangat. Saya sedar yang ajal maut semua ketentuan ALLAH. Yang penting saya perlu kuat,” katanya.
Ibunya, Azizah Abdul Aziz, 59, berkata, Mohd Riduan merupakan anak yang bertanggungjawab dan ringan tulang.
“Dia anak yang baik, selalu bantu keluarga. Dulu masa dia kerja, setiap kali gaji dia takkan lupa nak beli barang-barang dapur. Bila jadi macam ni, ALLAH saja tahu perasaan mak cik. Kadang tu mak cik, pak cik dan adik beradik lain selalu dok bagi semangat dekat dia, minta dia selalu berdoa,” katanya.
Azizah berkata, sejak disahkan menghidap kanser, Mohd Riduan lebih banyak menghabiskan waktu di dalam rumah berbanding luar.
“Dia boleh berjalan, tapi perlu ada yang teman sebab takut terjatuh. Nak dongak pun dia tak boleh lama-lama, takut pitam. Makan pun tak boleh sembarangan, kena makan makanan yang lembut. Selain tu dia kena kerap minum susu, sebulan saja dekat dua tin yang mencecah RM80 setiap satu,” katanya.
Sementara itu, nasib keluarga ini mendapat perhatian Penyelaras Kadun Telok Air Tawar yang berkesempatan menziarahi rumah mereka di Kampung Bagan Belat.

Mustafa berkata, pihaknya akan meneliti keperluan keluarga ini.
“Difahamkan, mereka setakat ini masih belum menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Semoga Mohd Riduan cekal menghadapi ujian ini dan kita akan mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya.
Source: SH Edisi Utara
[featured-video-plus]