
TAIPING – Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) dengan kerjasama Mapim dan Seniman melancarkan siri jelajah Kembara Watikah Keamanan ke seluruh negara selama lima hari bermula semalam.
Ketua penyelaras program, Yahaya Long Ali berkata, siri jelajah kembara bersempena ‘World Solidarity Day’ disertai 30 sukarelawan motorsikal berkuasa tinggi dari Permas International Bike Club yang turut melibatkan peserta dari Singapura.
Menurutnya, jelajah kembara ini bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia terhadap kepentingan menyumbang sekurang-kurangnya RM1 seorang bagi membantu etnik Rohingya tertindas.
“Kembara tersebut berlangsung selama lima hari sehingga 1 Disimber dan akan merentas beberapa bandar di seluruh negara.
“Pihak kami sudah menetapkan 26 lokasi persinggahan di seluruh negara bagi memperluaskan mesej keamanan di samping melaksanakan aktiviti kutipan tabung dana bantuan kemanusiaan masyarakat Rohingya.
“Di samping itu, siri kembara kami turut mendapat sokongan Kelab Salam Taiping Bikers dan pasaraya Giant,” katanya pada majlis pembacaan watikah keamanan oleh peserta siri kembara di pekarangan Pasaraya Giant Taiping, semalam.
Yahaya berkata, kembara tersebut turut membawa watikah keamanan untuk ditandatangani orang ramai sepanjang laluan serta hentian dikenal pasti di setiap negeri.
Menurutnya, kesemua tandatangan dikumpul pada watikah itu akan mewakili suara Malaysia yang cintakan keamanan dan benci keganasan yang berlaku di Myanmar, Bangladesh dan Filipina sehingga menyebabkan beberapa etnik dizalimi.
“Watikah itu kemudiannya akan di sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penamat jelajah kembara keamanan pada 1 Disember nanti.
“Bagi tabung dana kemanusiaan yang dilancarkan, kita tidak meletakkan sebarang sasaran. Namun, kita berharap rakyat Malaysia dapat sama-sama menyumbang bagi meringankan beban ditanggung etnik Rohingya dan etnik lain yang dizalimi,” katanya.
Source: SH Edisi Perak
[featured-video-plus]