
ISKANDAR PUTERI – Adun Senai, Wong Shu Qi diarahkan keluar Dewan Negeri Johor kerana enggan menarik balik kenyataannya dalam ucapan perbahasan, sebentar tadi.
Arahan itu dikeluarkan oleh Speaker Dewan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz selepas wakil rakyat pembangkang itu diarahkan berbuat sedemikian apabila dewan bersidang semula sekitar jam 2.30 petang.
“YB Senai, kita ada peraturan yang perlu dipatuhi. Kita anggota Dun, jika tak nak tarik balik ia bercanggah dengan peraturan.
“Jadi, saya menggunakan kuasa yang ada pada saya untuk mengarahkan YB Senai keluar dewan sekarang juga,” kata pada Persidangan Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
Shu Qi kemudiannya akur dengan arahan Speaker Dewan Negeri Johor dan keluar meninggalkan dewan walaupun beberapa ahli pembangkang menyatakan bantahan.
Terdahulu, Shu Qi dalam ucapan perbahasannya mempersoalkan kebenaran dakwaan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sendiri telah dituduh menerima sejumlah wang daripada pemaju untuk mengubah status perumahan lot Bumiputera kepada lot bukan Bumiputera.
Ahli Dap itu berkata, dakwaan itu merupakan kenyataan seorang saksi dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kemudiannya dimuatnaik ke laman web oleh pihak tertentu.
Kenyataan Shu Qi itu bagaimanapun menimbulkan reaksi daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang bingkas bangun menegur dan meminta Adun Senai berkenaan menarik balik kenyataan dikeluarkan.
Keengganan Shu Qi berbuat sedemikian menyaksikan wakil rakyat BN mendesak dan menyokong agar Adun pembangkang itu dirujuk ke Jawatankuasa Khas Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Johor.
Source: SH Edisi Johor
[featured-video-plus]