Tahap penyediaan penyata kewangan Kedah baik

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Secara umumnya tahap penyediaan dan penyerahan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kedah bagi tahun 2016 adalah baik manakala tahap penyediaan dan penyerahan Penyata Kewangan Agensi negeri pula ditahap memuaskan.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini menyebut kedudukan kewangan kerajaan negeri pada 31 Disember 2016 menunjukkan peningkatan berbanding 2015.


“Prestasi kewangan Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing adalah pada tahap kurang memuaskan berbanding tahun 2015.


“…manakala prestasi pelaksanaan projek di bawah RMK-11 yang berakhir pada tahun 2016 adalah cemerlang kerana 90.7 peratus projek telah disiapkan,” kata laporan berkenaan.


Kenyataan itu menyebut prestasi kewangan kerajaan negeri masih boleh dimantapkan lagi dengan memberikan beberapa syor bagi peningkatan prestasinya.


Antara syor itu kerajaan negeri disarankan untuk meneruskan usaha meningkatkan hasil pendapatan melalui pelbagai sumber, mengamalkan perbelanjaan secara berhemah, mengurangkan tunggakan hasil dan tunggakan Pinjaman Boleh Dituntut serta membuat bayaran balik pinjaman/hutang lain mengikut jadual yang ditetapkan supaya kedudukan kewangan berada dalam keadaan kukuh.


“Selain itu tadbir urus Tabung Kewangan Amanah perlu dipertingkatkan supaya ia sejajar dengan objektif utama penubuhan tabung berkenaan,” katanya.


Selain itu ketua jabatan/agensi perlu mempertingkatkan penglibatan secara praktikal dalam urusan kewangan.


Syor lain adalah ketua jabatan/agensi perlu mewujudkan sistem semak dan imbang, mengadakan pemantauan berterusan, pemeriksaan mengejut dan penilaian secara berkala terhadap kerja yang dilaksanakan oleh pegawai termasuk memberikan latihan untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan pegawai.


Ketua jabatan.agensi perlu juga mempertingkatkan keberkesanan fungsi Unit Audit Dalam (UAD), antaranya memastikan anggota UAD mendapat latihan dan bimbingan secukupnya, menyediakan perancangan audit tahunan supaya pengauditan dapat dilaksanakan mengikut keutamaan.


Selain itu membuat penilaian secara objektif dan bebas bukan sahaja berkaitan dengan aspek kawalan dalaman malahan risiko dan tadbir urus organisasi, melaporkan penemuan signifikan serta mengesyorkan cadangan yang memberi impak kepada organisasi. kata laporan itu lagi.- Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]