Tangguh lawatan tidak penting ke Bali

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kementerian Luar hari ini menasihati rakyat Malaysia menangguhkan lawatan tidak penting ke Bali berikutan gunung berapi Gunung Agung semakin aktif  dengan letusan berterusan sejak Ahad. 


Dalam satu kenyataan di sini, Wisma Putra berkata kedutaannya di Jakarta memantau rapi perkembangan Gunung Agung sejak letusan pertama dilaporkan pada 21 November lalu.


“Letusan itu menjejaskan kawasan sekitar  Kabupaten Karangasem, menyebabkan pembatalan penerbangan ke dan dari Bali serta penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai. Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan agar menangguhkan perjalanan tidak penting ke Bali,” demikian menurut kenyataan tersebut.


Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang terjejas dengan bencana agar menghubungi Kedutaan Malaysia di Jakarta serta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.


Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Jakarta menerusi +62 215 224 947 atau  +62 813 808 130 36 (selepas waktu bekerja)  atau  e-mel:   mwjakarta@kln.gov.my.  atau Konsul Kehormat Malaysia di  Bali menerusi  +62 361 973 182 atau  +62 812 371 540 50 atau e-mel: balihcmalaysia@gmail.com.- Bernama


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]