
SEREMBAN – Kerajaan negeri tidak mengenakan sebarang bayaran kepada individu yang mempunyai masalah penempatan kritikal dan ditumpangkan di unit persinggahan sementara.
Adun Pertang, Datuk Jalaluddin Alias berkata, inisiatif itu merupakan keprihatinan kerajaan negeri terhadap golongan tersebut selepas ditimpa bencana seperti kebakaran, banjir, tanah runtuh dan lain-lain.
“Untuk kes seperti ini, mangsa hanya ditumpangkan sementara dan selepas keadaan kediaman mereka pulih, mereka akan pulang ke kediaman asal. Pada masa ini tiada bayaran dikenakan dan tertakluk pada perubahan dari semasa ke semasa. Bagaimanapun unit rumah untuk penempatan sementara ini amat terhad.
“Bagi kes yang mempunyai masalah penempatan kritikal (bergantung pada kes), mereka juga ditempatkan sementara di unit tersebut dan pada masa sama pihak majlis akan menawarkan unit kediaman PPR untuk disewa sekiranya ada kekosongan,” katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Ke-13 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohammad Razi Kail (BN-Juasseh) mengenai dasar kerajaan negeri terhadap kebajikan warga miskin yang mana kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Seremban (MPS) mewujudkan perumahan kebajikan di Rumah Pangsa Paroi dengan membenarkan ibu tunggal serta warga miskin tinggal tanpa membayar sewa.
Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata namun penempatan di Flat Seri Perdana, Paroi, pula mengutamakan golongan miskin bandar atau individu yang kurang bernasib baik dengan kadar sewa RM150 sebulan.
“Pengisian perumahan awam diberikan terlebih dahulu kepada ibu tunggal dan golongan miskin, manakala kerajaan negeri mengambil pendekatan fleksibel dalam mendepani kelompok masyarakat yang menghadapi kesempitan kewangan untuk membayar sewa rumah,” katanya.- Bernama
Source: SH Edisi Melaka NS
[featured-video-plus]