TNB sumbang RM100,000 bantu pelarian Rohingya

in Nasional by


KUANTAN – Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) Kebangsaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyumbang RM100,000 kepada tabung SINAR4ROHINGYA bagi membantu mangsa pelarian Rohingya yang berada di kem pelarian di Bangladesh.


Naib Presiden Penjanaan merangkap Presiden PKPI Kebangsaan, Datuk Zainuddin Ibrahim berkata, dana sejumlah itu diperolehi menerusi kutipan derma melibatkan kakitangan TNB di seluruh negara.


Menurutnya, kutipan tersebut dijalankan sejak enam bulan lalu, dan berjaya mengumpul dana sehingga RM100,000 menunjukkan bahawa warga kerja TNB begitu prihatin dengan nasib menimpa golongan Rohingya.


“Ini adalah  satu tanggungjawab sosial yang kita lakukan bagi membantu masyarakat Rohingnya yang menjadi mangsa penindasan di negara mereka sendiri,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan program 1Hati 1TNB dan majlis penyerahan replika cek yang disampaikan oleh Zainuddin kepada Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini, malam tadi.


Menyentuh mengenai program 1Hati 1TNB, Zainuddin berkata, ia merupakan acara tahunan yang dianjurkan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam TNB Kebangsaan dengan bantuan daripada Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) di sini.


Program yang diadakan selama sehari itu melibatkan jawatankuasa Masjid Sultan Ahmad Shah dan masyarakat di Perkampungan Sungai Isap, di sini, berlangsung dengan meriah.


Jelasnya, objektif penganjuran ini adalah untuk meningkatkan atau memperkukuhkan imej kredibiliti TNB terhadap masyarakat dengan menzahirkan keprihatinan pihaknya.


“Saya percaya ia memberi peluang kepada anggota kerja TNB dan juga keluarga dapat mempereratkan silaturahim dengan masyarakat setempat. Malah memberi peluang kepada anggota kerja atau masyarakat setempat untuk menimba ilmu,” katanya.


Sementara itu, Abdul Jalil mengucapkan terima kasih kepada TNB yang telah memberi sumbangan besar kepada tabung SINAR4ROHINGYA.


“Saya percaya TNB buat ini adalah satu tanggungjawab sosial, dan mereka (TNB) yakin kita akan sampaikan amanah ini kepada pihak yang memerlukan.


“Setakat ini kita sudah gerakan empat hingga lima rombongan ke kem pelarian Rohingya hasil daripada kutipan yang telah kita terima daripada orang ramai. Insya-ALLAH kalau sudah cukup kutipan.. kita tak akan simpan tetapi terus hantar kepada golongan itu,” katanya.


Menurutnya, akhbar Sinar Harian hanya menjalankan promosi dan mengumpul sumbangan daripada semua pihak dan beberapa NGO yang telah dikenalpasti akan menjalankan tanggungjawab mereka.


“Biasa kita akan pilih NGO yang mahir dalam bidang itu (kemanusiaan) dan kita akan beri wang untuk mereka uruskannya,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]