Tradisi orang dahulu diteruskan

in Edisi Selangor KL by


KUALA SELANGOR – Amalan berkhatan perdana menjadi kelaziman untuk anak penduduk menjelang cuti persekolahan dan turut dilaksanakan di Parlimen Tanjong Karang dan Kuala Selangor.


Bagi Parlimen Tanjong Karang, tradisi Sunathon Perdana Parlimen Tanjong Karang 2017 anjuran Umno Bahagian Tanjong Karang tetap diteruskan setiap tahun.


Ahli Parlimennya yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menjelaskan, program tahunan itu diadakan setiap hujung tahun sempena cuti persekolahan.


“Seramai 150 anak penduduk terlibat dalam program percuma ini kerana bayaran deposit RM40 dipulangkan semula kepada ibu bapa kerana komitmen bersama menjayakan program ni.

Noh bersama pemimpin setempat menyiram peserta Sunathon Perdana Parlimen Tanjing Karang.


“Tradisi orang dulu-dulu dikembalikan semula bagi memeriahkan amalan bersunat ni dan berterima kasih kepada Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang turut sama membantu,” katanya.


Sementara itu, Program Sunathon 2017 anjuran Surau Al Muqarrabin Alam Suria, Puncak Alam turut mendapat sambutan menggalakkan meskipun penganjuran julung kali pada tahun ini.


Pengarah programnya, Anuar Mat Yusuf berkata, seramai 22 anak yatim, asnaf dan anak penduduk setempat memeriahkan program yang diiringi paluan kompang Pasukan Kompang 5A3.

Sebahagian anak penduduk dibawa berarak sempena Program Sunathon 2017 anjuran Surau Al Muqarrabin Alam Suria, Puncak Alam.
Merenjis air mawar kepada peserta Sunathon Perdana Tanjong Karang.


“Program ini adalah sebahagian aktiviti untuk mengimarahkan surau baru di taman perumahan ini dan Alhamdulillah sambutan cukup baik dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya.


“Pada masa sama, kita mahu mempromosikan surau baru ini dan kempen untuk wakaf dana surau bagi membangunkan lagi kemudahan demi kegunaan penduduk setempat.


“Sambutan yang cukup menggalakkan menjadikan program ini sebagai acara tahunan untuk tahun depan dengan lebih ramai penyertaan,” katanya kepada Sinar Harian.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]