Wanita kuasai perniagaan

in Bisnes by


MALAYSIA sentiasa menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan melalui pelbagai program dan insentif serta latihan keusahawanan yang dianjurkan agensi kerajaan dan swasta.


Kesemua program itu diadakan khusus untuk usahawan wanita sebagai langkah pemerkasaan ekonomi wanita melalui peluang penjanaan pendapatan.


Hasilnya, dapat dilihat peningkatan jumlah wanita dalam pemilikan perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) semakin bertambah saban tahun, walaupun jumlahnya, masih di aras yang rendah.


Hasil bancian ekonomi yang telah dijalankan pada 2016 menunjukkan bahawa daripada 907,065 PKS dalam negara setakat ini, sebanyak 20.6 peratus bersamaan 186,855 terdiri daripada perusahaan milik wanita.


Dalam usaha untuk melonjakkan jumlah penglibatan wanita dalam keusahawanan, Kerajaan Malaysia menerusi Bajet 2018 yang lalu, turut menghargai wanita dengan memberikan bantuan sebanyak RM20 juta bagi program latihan dan keusahawanan wanita.


Hari ini, tokoh-tokoh perniagaan wanita juga ramai yang menonjol antaranya Datuk Seri Hasmiza Othman, Faiza Bawumi Sayed Ahmad, Vivy Yusof dan Noor Neelofa Mohd Noor. Dan siapa tidak kenal dengan Allahyarhamah Datuk Dr Maznah Hamid yang lebih dikenali sebagai iron lady dalam kecekalan dan kesungguhannya dalam pembangunan banyak perniagaan yang sehingga kini menjadi legasi, sekali gus sebagai contoh kepada wanita yang ingin menceburi bidang perniagaan.


Ramai lagi usahawan-usahawan wanita di luar sana yang sedang mencipta nama dalam perniagaan untuk setanding bersama usahawan wanita berjaya pada masa akan datang.


Perlu keluar dari zon selesa


PERATUSAN peningkatan penglibatan wanita dalam keusahawanan semakin meningkat saban tahun didorong pelbagai langkah kerajaan bantu golongan ini menerusi sektor perniagaan.


Presiden Persatuan Jaringan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Wena), Nadira Yusoff berkata, jumlah itu merupakan satu perkembangan yang baik kerana dapat dilihat lebih ramai wanita mula bergerak ke arah keusahawanan.  


“Perkara ini didorong pelbagai program bimbingan dan bantuan kewangan yang disediakan kerajaan bagi membolehkan wanita memulakan berniaga, sekali gus menunjukkan wanita telah mula ambil peluang untuk memperkasakan diri menjadi penyumbang ekonomi negara,” katanya.


Bagaimanapun, menurutnya, daripada jumlah itu, kebanyakan perusahaan wanita masih di takuk kecil atau mikro.  


Pihaknya mahu melihat ramai wanita berkecimpung dalam bidang perniagaan, berkembang dan berada dalam takuk sederhana atau besar.  


“Hal ini kerana, masih terdapat banyak lagi halangan untuk memperkembangkan perniagaan di kalangan wanita terutamanya dalam penggunaan teknologi dan penerapan inovasi, serta sistem sokongan dalam mengimbangi tanggungjawab keluarga dan syarikat,” katanya.


Nadira berkata, antara cabaran wanita dalam perniagaan adalah penggunaan teknologi dan adaptasi inovasi.


“Rata-rata wanita berpendapat, harus jadi pakar teknologi untuk menggunakan teknologi, tetapi sebenarnya tidak. Kemunculan pelbagai jenis teknologi juga membuat wanita overwhelmed kerana tidak pasti apa yang terbaik.  


“Selain penerapan inovasi dalam perniagaan yang kurang, sokongan keluarga juga penting dalam mengimbangi tanggungjawab, kos pendidikan dan penjagaan anak-anak, yang juga menjadi halangan kepada ramai wanita,” katanya.


Dalam usaha meningkatkan jumlah itu, Wena mengadakan pelbagai program khusus untuk wanita antaranya WiFi; jaringan perniagaan dan akses pasaran; program eksport berskala kecil melalui dropshipping; program Asean Great Women; dan program OEM (kontrak pengilangan).


Mengulas Akademi MyWIN, Nadira berkata, ia mampu membantu wanita tentang penghasilan atau menerapkan inovasi dalam perniagaan.  


“Langkah ini penting, jika kita mahu melihat wanita berjaya mengembangkan dan kekal dalam perniagaan,” katanya.


Setakat ini, Wena mempunyai 3,000 ahli dan sasar meningkatkan jumlah wanita dalam perniagaan sebanyak 20 hingga 30 peratus setiap tahun, sejajar usaha membina minat wanita dalam keusahawanan.


Bantu jana pendapatan


Penglibatan wanita dalam perniagaan adalah satu peluang yang baik untuk menjana pendapatan sampingan khususnya kepada suri rumah.


Bagaimanapun, rata-rata mereka tidak mempunyai sumber kewangan untuk memulakan perniagaan walaupun dengan modal serendah RM300.


Pengasas Ajwa Hair, Norlida Mohd Azman berkata, sejak berniaga dia sering bertemu dengan suri rumah yang berminat dan berpotensi dalam perniagaan seperti menjadi ejen tetapi tidak mempunyai wang.


“Ramai wanita di luar sana yang ingin berniaga tetapi berhadapan dengan kekangan modal.


“Oleh itu, pendapat saya perlu ada bantuan khusus kepada golongan wanita walaupun sedikit untuk memulakan perniagaan,” katanya.


Selain dana kewangan, Norlida, wanita juga memerlukan sokongan dari segi latihan perniagaan.


Menurutnya, tidak semestinya berniaga memerlukan wanita mempunyai syarikat atau produk sendiri tetapi mereka boleh memulakan perniagaan dengan hanya menjadi ejen juga dropship kepada produk syarikat lain.


Katanya, dengan sokongan dan bantuan yang berterusan, wanita akan lebih ramai terlibat dalam perniagaan dan maju ke hadapan.


Sementara itu, mengulas berhubung bantuan kewangan daripada agensi kerajaan dalam kalangan usahawan wanita, Norlida berkata, bantuan bagi wanita di kawasan luar bandar sememangnya banyak berbanding di bandar.


“Luar bandar khususnya ibu tunggal dan golongan tidak bernasib merupakan antaranya individu yang menerima banyak bantuan, itu adalah satu perkara yang baik.


“Namun, bagi wanita di bandar, agak sukar apatah lagi mereka yang memiliki kerjaya dan pencapaian pendidikan tinggi,” katanya.


Komitmen keluarga cabaran utama


Mungkin ramai wanita di luar sana ingin terlibat dalam perniagaan tetapi berhadapan cabaran berat iaitu komitmen keluarga perlu ditanggung bersama komitmen kerja mencabar.


Salah seorang usahawan wanita tempatan, Diana Yusuf berkata, dia mengambil keputusan untuk berhenti bekerja ‘makan gaji’ dan menceburi bidang perniagaan dengan menghasilkan produk berasaskan daun bidara.


Dia langsung tidak terfikir komitmen itu ketika ingin berkecimpung dalam perniagaan, sehingga sudah berada dalam industri itu.


Katanya, dia mengambil keputusan untuk berniaga kerana ingin mempunyai masa yang banyak dengan keluarga, namun, sebaliknya.


“Mula-mula saya ingat senang berniaga tetapi apabila dah dalam bidang ini saya akui komitmen tinggi. Namun, kita perlu tahu urus masa dengan baik untuk berjaya sebagai ibu, isteri dan usahawan,” katanya.


Diyana berkata, fasa lima bulan terawal perniagaan yang sangat kritikal dan berat kerana memerlukan komitmen tinggi serta tumpuan sepenuhnya kepada mengukuhkan perniagaan antaranya pemasaran, tinjauan dan pembangunan dan penyelidikan (R&D).


“Ketika ini, kita terpaksa ‘abaikan masa’ bersama suami dan anak, dan suami banyak ambil alih tugas dan penting untuk suami yang memahami.


“Sebab itu, kita dapat lihat, kebanyakan wanita terlibat dalam perniagaan bersama suami,” katanya.


Jelasnya, dia turut melihat ada dalam kalangan usahawan wanita yang hanya ‘separuh jalan’ kerana kegagalan dalam komitmen keluarga ini.


Mengulas berhubung faktor kewangan, Diyana berkata, wang adalah perkara kedua yang mencabar, bagaimanapun, ia bergantung kepada individu.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]