Wujud kelemahan pada perolehan peralatan sukan

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU –  Terdapat kelemahan dikesan berlaku pada pengurusan perolehan peralatan dan alat bantuan sukan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang perlu diperbaiki.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini, kelemahan yang dikesan menerusi pengauditan bagi tempoh Jun hingga September tahun ini melibatkan 56 peralatan dan alat bantuan sukan.


“Antara kelemahan yang dikesan ialah pengurusan perolehan peralatan dan alat bantuan sukan oleh MSNT adalah perolehan secara rundingan terus (tidak melalui proses rundingan harga).


“Pada pendapat Audit, perolehan secara rundingan terus adalah tidak memuaskan kerana tatacara perolehan tidak dipatuhi sepenuhnya seperti perolehan tidak melalui Jawatankuasa Rundingan Harga, bon pelaksanaan tidak dikenakan dan perolehan lewat dibekalkan,” menurut laporan itu.


Laporan itu menyebut bagi tempoh tahun 2014 hingga 2016, sebanyak 20 perolehan bernilai RM1.64 juta telah dibuat secara rundingan terus setelah mendapat pengecualian daripada proses sebut harga.


“Semakan Audit terhadap tujuh perolehan peralatan dan alat bantuan sukan yang dibuat secara rundingan terus oleh MSNT mendapati perolehan tersebut tidak melalui Jawatankuasa Rundingan Harga yang sepatutnya dipengerusikan oleh Pegawai Pengawal atau pegawai yang diturunkan kuasa berdasarkan perenggan 14 1PP PK7/2013.


“MSNT membuat perolehan tersebut dengan hanya mendapatkan tawaran harga daripada beberapa pembekal seperti perolehan secara kaedah pembelian terus.


“Pihak Audit tidak menemui rekod yang menunjukkan Jawatankuasa Rundingan Harga ditubuhkan atau Mesyuarat Rundingan Harga diadakan. Ini menunjukkan MSNT tidak mematuhi pekeliling yang ditetapkan semasa membuat perolehan secara rundingan terus,” katanya.


Tujuh perolehan itu melibatkan peralatan Latihan Sukan Memanah Sukma (Sukan Malaysia) 2015 dan 2016, peralatan Pertandingan Sukan Memanah Bagi Pasukan Memanah Sukma 2016 dan peralatan Pertandingan Sukan Perahu Layar Sukma 2016.


Selain itu, ia turut melibatkan membekal Peralatan Sukan Menembak Pasukan Menembak SUKMA XVIII Sarawak 2016, Membekal Pakaian Latihan Kontinjen 2015 & 2016, Membekal Pakej Pakaian Rasmi Kontinjen Terengganu (SUKMA XVII), Perlis 2014, dan membekal Pakej Pakaian Kontinjen Terengganu (SUKMA XVIII), Sarawak 2016.


Daripada maklum balas MSNT yang diterima pada 28 Ogos 2017 mengatakan Jawatankuasa Rundingan Harga telah ditubuhkan pada 23 Ogos 2017 untuk perolehan seterusnya.


“Pada pendapat Audit, pengurusan perolehan tidak memuaskan kerana Jawatankuasa Rundingan Harga tidak ditubuhkan. Penubuhan jawatankuasa ini penting bagi membolehkan rundingan dibuat antara MSNT dan pembekal untuk mendapatkan harga munasabah, berpatutan dan mendapat ‘best value for money’.


“Justeru laporan mengesyorkan MSNT memastikan pemantauan yang rapi perlu dilakukan supaya semua peraturan-peraturan perolehan dipatuhi, peralatan dan alat bantuan sukan diterima dalam tempoh yang ditetapkan dan penggunaannya mengikut maksud perolehan tersebut,” menurut laporan itu.- Bernama


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]