Akid dalam misi buru trofi ketiga

in Sukan by


MOHD Akid Aziz kini dalam misi memburu trofi berprestij ketiga selepas menggenggam dua trofi peribadi di peringkat nasional apabila turun beraksi mempertahankan kedudukan pendahulu keseluruhan saingan Underbone 150cc pada Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, minggu ini.


Pelumba berusia 19 tahun yang membawa cabaran UMA Racing Yamaha Maju Motor itu menggondol gelaran keseluruhan CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas pada 2016 dan 2017 selain turut cemerlang pasukannya memenangi gelaran pasukan terbaik buat dua tahun berturut-turut di peringkat nasional dan juga antarabangsa.


Pada aksi minggu ini, Akid bakal melengkapkan tahun sempurna pasukan kendalian Yong Ying Hoe seandainya menjulang gelaran juara keseluruhan kelas underbone ARRC yang kali terakhir dibawa pulang pelumba negara pada 2009.


Selepas lima pusingan, Akid kini hanya memerlukan enam mata kejuaraan dalam baki dua perlumbaan akhir untuk mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan apabila kini selesa mendahului kedudukan dengan 164 mata, 44 mata mengatasi Wahyu Aji Trilaksana kedua manakala rakan sepasukan Akid, Md Haziq Fairues ketiga dengan 116 mata.

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]