
KLUANG – Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 8.5 Jalan Teck Wah Heng dekat sini, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu menyebabkan mangsa, Mohamad Izwan Rauob, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kemalangan berlaku semasa pemandu kereta, Chong Yoke Chin, 37, memandu sendiri dari Jalan Renggam menghala ke Bandar Kluang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba haiwan yang tidak dapat dipastikan melintas dari kiri ke kanan menyebabkan pemandu kereta hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar motosikal mangsa.
“Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom Kluang untuk dibedah siasat,” katanya.
Mohamad berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati lokasi kemalangan merupakan jalan selekoh dan permukaan jalan basah kerana hujan renyai-renyai.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Source: SH Edisi Johor
[featured-video-plus]