Banjir: ATM gerakkan 2,500 anggota

in Nasional by


KOTA BHARU – Seramai 500 anggota tentera di bawah 8 Briged ditugaskan untuk misi bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu kali ini termasuk 17 pegawai yang kini berada di lapangan.


Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Sri Mohd Johari Baharuddin berkata, selain itu pihaknya turut menyediakan enam lagi pasukan khas yang terdiri daripada 2,000 anggota yang kini bersiap sedia untuk ditugaskan di mana-mana kawasan yang memerlukan bantuan.


“Kita juga sediakan 16 bot tempur dan 30 kenderaan tiga tan dan lain-lain peralatan. Jadi kita memang sudah bersedia untuk membantu masyarakat dan agensi-agensi yang ada dalam operasi banjir ini.


“Kami juga menyediakan keperluan lengkap, termasuklah perubatan dan paramedik, termasuklah kumpulan untuk memasak, sebagaimana yang kami buat sebelum ini. Sama seperti di Pulau Pinang baru-baru ini,” katanya.

Johari (kanan) beramah mesra dengan penerima pingat.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia kepada 159 anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , di sini hari ini.


Hadir sama,  Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah dan Panglima 8 Briged, Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]