Bot pukat tunda ceroboh kawasan

in Edisi Utara by


KUALA KEDAH – Beberapa bot pukat tunda dikhuatiri menceroboh kawasan tangkapan antara dua hingga tiga batu nautika dari pantai di perairan Kuala Kedah, di sini, sejak beberapa bulan lepas.


Wakil pemilik bot, Shaari Ismail, 65, berkata, dia mendakwa mengesan kegiatan yang dilakukan pada waktu malam terbabit ketika pulang dari menangkap hasil laut.


“Pak Tam ada nampak beberapa kali bot tunda lain bersiap sedia untuk keluar menangkap ikan, semasa kami pulang dari laut lebih kurang pukul 8 malam.


“Apabila pagi, Pak Tam pernah nampak beberapa awak-awak angkut baja ikan masuk dalam tong,” katanya.


Dia yang menjadi nelayan selama 50 tahun berkata, dia tidak berniat menuduh sesiapa bagaimanapun bimbang ramai nelayan termasuk dirinya terjejas, jikalau perkara ini dibiarkan.


Katanya, dia juga ada mendengar keluhan nelayan pantai yang bimbang pendapatan terjejas disebabkan hasil tangkapan berkurangan.


Shaari berkata, bot terlibat sepatutnya menangkap dalam kawasan tangkapan lapan batu nautika, bagaimanapun dikhuatiri melakukan aktiviti di kawasan nelayan pantai.


“Sayangnya, benih ikan tidak sempat membesar, sudah diambil. Hakikatnya, pemilik bot seperti Pak Tam juga rugi disebabkan bekalan ikan yang boleh menjadi mata pencarian hidup kami nanti makin merosot,” katanya.


Menurutnya, aktiviti berkenaan dipercayai dilakukan kerana permintaan terhadap benih ikan tinggi dan boleh dijual sekitar RM1 untuk per kilogram (kg).


Malah, katanya, dia kesal kerana tindakan terbabit dilihat seolah-olah memburukkan imej pemilik bot, sedangkan tidak semua melakukan aktiviti menceroboh kawasan tidak dibenarkan itu.


Untuk itu, katanya, dia merayu mana-mana pihak yang berkenaan dapat memantau dan mencegah aktiviti berkenaan daripada berterusan.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]