
TUMPAT – “Tak sedar ribut kuat, cuma bunyi dentuman kuat hempap bumbung menyebabkan kami terjaga dari tidur,” kata Umar Yusoff, 60 dari Kampung Tujoh.
Umar antara mangsa ribut apabila tiga rumah di Kampung Tujoh rosak dalam kejadian ribut pagi kelmarin.
Umar berkata, ketika kejadian jam 5 pagi itu dia sedang nyenyak tidur apabila pokok kelapa tumbang menghempap rumahnya.
“Mujur pokok kelapa tumbang hempap bilik tidur yang tiada penghuni.
“Bilik tidur itu hanya untuk anak kami yang pulang ketika bercuti di kampung,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu disedari isterinya, Zainab Mustapa, 58, yang kemudiannya terus bergegas keluar bilik tidur melihat apa yang berlaku.
Katanya, bumbung rumahnya pecah akibat ditimpa pokok kelapa berkenaan dan hujan lebat menyebabkan keseluruhan bilik tidur digenangi air.
Sementara itu, Kamalruzaman Mamat, 33, kejadian ribut itu menyebabkan bumbung rumahnya di bahagian dapur tercabut.
Katanya, ketika kejadian dia sekeluarga bersama isteri dan empat anak tiada di rumah kerana pulang ke rumah mertua di Kampung Chenderung Batu.
“Saya dapat tahu selepas kakak menelefon bagi tahu rumah saya dipukul ribut.
“Saya terus bergegas pulang khuatir ada peralatan rumah rosak terkena hujan,” katanya.
Menurutnya, mujur kakaknya, Noraini Mamat, 43, tersedar daripada tidur kerana kejadian ribut ini di waktu pagi.
“Ketika itu semua orang nyenyak tidur.
“Mereka turut membantu menutup fius utama khuatir berlaku lintar pintas kerana wayar elektrik terkena hujan selepas bumbung tercabut dan menimpa bumbung di bahagian ruang tamu,” katanya.
Source: SH Edisi Kelantan
[featured-video-plus]