JKR baik pulih Jambatan Sultan Yusof

in Uncategorized by


JABATAN Kerja Raya (JKR) giat melaksanakan kerja-kerja awalan membaik pulih dan pengukuhan pier 11 di Jambatan Sultan Yusof, Batu 5, Teluk Intan.  


Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kerja-kerja berkenaan dibuat bagi menghentikan pergerakannya.


Menurutnya, pada ketika ini pergerakan pier 11 telah distabilkan dengan menambat pier 11 dengan pier bersebelahan menggunakan ikatan wire rope.


“Selain itu, kerja-kerja pengukuhan revetment (tebing) bagi mengelakkan hakisan di kawasan pier 11 juga telah dilaksanakan di tapak.


“Setelah mendapati pergerakan pier 11 stabil, maka pihak kontraktor kini menjalankan pula kerja-kerja untuk mengukuhkan pier tersebut secara keseluruhan,” katanya menjawab soalan Mohd Azhar Jamaluddin (BN-Changkat Jong) pada sesi soalan lisan, semalam.


Untuk rekod, Kementerian Kerja Raya telah mengumumkan penutupan sepenuhnya Jambatan Sultan Yusof, Batu 5, Teluk Intan selama empat bulan mulai 2 September lalu untuk kerja-kerja baik pulih dan dijangka dibuka semula awal 2018.


Bagaimanapun, penutupan jambatan berkenaan menimbulkan sedikit kesulitan kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk Teluk Intan yang bekerja di seberang Sungai Perak iaitu di Mukim Sungai Durian, Mukim Kota Setia dan Daerah Manjung kerana perlu menaiki bot tambang serta motosikal (yang masih dibenarkan melalui jambatan berkenaan) untuk ke tempat kerja.


Zainol Fadzi berkata, JKR negeri giat melaksanakan tindakan demi memastikan semua kerja pembaikan pier 11 dilaksanakan segera dan siap pada awal 2018.


“Kita akan terus memantau dengan rapi. Kami berharap permasalahan ini diselesaikan mengikut perancangan dan memahami kesulitan dan ketidakselesaan orang ramai yang menggunakan jambatan ini sebagai laluan harian,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]