Kantoi curi duit tabung masjid

in Edisi Johor by


SEGAMAT – Perbuatan seorang lelaki sedang mengait duit dari tabung Masjid Syed Alwi di Batu Anam di sini, berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).


Pengerusi masjid, Kassim Suang berkata, kejadian kira-kira jam 3 pagi itu bagaimanapun hanya disedari beberapa jemaah lelaki yang datang untuk menunaikan solat Subuh kira-kira jam 5 pagi, hari yang sama.


“Kerugian dianggarkan RM600 kerana penjenayah tidak melarikan kesemua wang yang terdapat di dalam beberapa tabung besi yang ditempatkan di dalam masjid ini.


“Sebaliknya penjenayah hanya ambil wang dalam beberapa tabung secara rambang guna lidi dan gam tikus berdasarkan terdapat kesan gam tikus yang terlekat pada bahagian lubang tabung,” katanya.


Menurutnya, ruang legar masjid memang tidak dikunci bagi memudahkan musafir dan jemaah sekitar untuk beribadah sejak sekian lama.


Katanya, berdasarkan rakaman CCTV, lelaki terbabit dilihat melarikan diri menggunakan sebuah motosikal.


“Kami percaya tindakan penjenayah tidak melarikan kesemua wang tersebut dengan harapan perbuatannya tidak disedari dan bercadang untuk datang semula pada masa akan datang.


“Kami telah membuat laporan polis dan berharap penjenayah dapat ditahan dalam tempoh terdekat,” katanya.


Kassim berkata, ini kali kedua wang tabung masjid itu dicuri selepas kejadian pertama awal tahun ini yang melibatkan kerugian beberapa ratus ringgit.


Katanya, ketika itu polis berjaya menahan pelaku dalam tempoh tiga hari sahaja selepas menerima laporan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan pihaknya sedang giat mengesan suspek.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.


“Orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Segamat bagi menyalurkan sebarang maklumat di talian 07-9324222,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]