Kerajaan Negeri Johor belanja berhemah: MB

in Edisi Johor by


PASIR GUDANG – Perbelanjaan berhemah Kerajaan Negeri Johor menjadi faktor utama prestasi kewangan negeri berada dalam keadaan baik.


Mengulas pujian Jabatan Audit Negara berhubung prestasi kewangan memberansangkan Kerajaan Negeri Johor yang berakhir 31 Disember tahun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri  menguruskan wang negeri dengan berhati-hati.


“Kita punya ‘surplus’ kerana sentiasa memastikan berbelanja mengikut kemampuan. Kita tidak mahu buat perkara yang kita rasakan akhirnya tidak boleh dilaksanakan. Atas sebab itu kita sangat teliti,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoA) beberapa institusi penyelidikan Bio-Tech, di sini, hari ini.


Dalam laporan itu, Kerajaan Negeri Johor mencatatkan ‘surplus’ dalam prestasi kewangan negeri berjumlah RM119 juta menjadikan akaun hasil disatukan pada 31 Disember 2016 berbaki sejumlah RM 1.12 billion.


Jumlah itu menunjukkan peningkatan sejumlah RM113.39 juta atau 7.3 peratus lebihan berbanding  2015.


Secara keseluruhan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Johor pada 31 Disember 2016 adalah baik dengan kumpulan wang yang disatukan pada tahun itu berjumlah RM2.6 bilion, meningkat kepada RM36.8 juta berbanding RM2.63 bilion, tahun sebelumnya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]