Lima lelaki nyaris jadi korban banjir

in Edisi Terengganu by


MARANG – Dua lelaki nyaris lemas dan terpaksa keluar melalui tingkap kereta untuk menyelamatkan nyawa selepas kereta dinaiki, dihanyutkan air deras di Jalan Pengkalan Berangan – Wakaf Tapai, di sini, hari ini.


Dalam kejadian 6.55 pagi itu, Muhammad Syahir Aqil Rosman, 20, dari Batu Buruk dan Muhammad Zulfaqar Zahari, 18, dari Kuala Ibai itu dikatakan dalam perjalanan dari Ajil, Hulu Terengganu menghala ke Pulau Kerengga.


Kejadian dipercayai berlaku ketika hujan dan sebaik tiba di selekoh, kereta dipandu dihanyutkan kepala air dan air pasang yang datang secara tiba-tiba sekaligus menghanyutkan kenderaan ke dalam kawasan semak.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai Suriati Ariffin berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 7 pagi sebelum pasukannya bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa.


Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dua mangsa berada di atas kereta dengan kedalaman air mencecah 0.4 meter.


“Kita terpaksa berjalan hampir 500 meter untuk menyelamatkan mangsa berikutan jalan berkenaan dinaiki air selain keadaan air yang deras.


“Sebaik menghampiri mereka, kita memakaikan jaket keselamatan sebelum membawa mereka ke kenderaan bomba yang ada di tepi jalan.


“Kita mengambil masa hampir 20 minit untuk menyelamatkan mereka dan mangsa berjaya diselamatkan 7.40 pagi,” katanya.


Dalam kes berasingan, dua dari tiga lelaki yang bermain jet ski di kawasan Jambatan Sungai Pengkalan Berangan di sini diselamatkan anggota bomba apabila jentera itu terbalik sebelum mereka dihanyutkan air deras.


Suriati berkata, tiga mangsa yang terlibat ialah Wan Mohd Zul Sham Alias, 30, Mohd Taufik Othman, 29, dan Mohd Syukri Yaacob, 31 namun Mohd Shukri berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing.


“Dua mangsa berusia 30 dan 29 itu ditemui pada jarak 200 meter dari tempat kejadian termasuk salah seorangnya ditemui tersangkut di atas pokok kira-kira jam 1.26 tadi,” katanya.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]