Pelancong mulai banjiri jeti Kuala Perlis ke Langkawi

in Edisi Utara by


KUALA PERLIS – Pelancong mula membanjiri jeti Jabatan Laut Perlis untuk menaiki feri ke pulau peranginan Langkawi sempena musim cuti persekolahan yang bermula Sabtu lepas.


Justeru, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Mat Hassan meminta pihak-pihak berkenan membuat persediaan sepenuhnya untuk menghadapi kebanjiran pelancong terutama ketika musim hujan mulai melanda negeri ini.


“Pengusaha-pengusaha feri penumpang dan kenderaan, tempat letak kenderaan, hotel dan pengendali kedai makanan serta penyedia perkhidmatan lain harus bersedia memberi perkhidmatan terbaik,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.


Beliau, yang juga Adun Kuala Perlis, mahu pengusaha feri penumpang dan feri membawa kenderaan memastikan feri mereka dalam berkeadaan baik dan selamat digunakan selain memastikan jadual perjalanan dipatuhi.


“Pengusaha tempat letak kereta pula hendaklah patuh arahan pihak berkuasa dan mengelak menjadi kawasan awam sebagai tempat meletak kereta yang menghalang lalu lintas.


“Peniaga kedai makanan dan kuih-kuih tradisional juga tidak wajar mengambil kesempatan menaikkan harga jualan mereka untuk meraih keuntungan besar yang akhirnya hanya memburukkan nama orang Perlis,” katanya.


Mat meminta pelancong supaya lebih sensitif dengan tidak membuang sampah merata-rata bagi memastikan kawasan terminal feri penumpang sentiasa bersih.


“Saya yakin jika semua pihak tidak mementingkan diri, Kuala Perlis akan terus menjadi pilihan utama pelancong untuk menaiki feri ke Pulau Langkawi selain jarak perjalanannya lebih dekat berbanding melalui Kuala Kedah dan Pulau Pinang,” tambahnya.- Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]