Penat hadapi kemelut 15 tahun

in Edisi Selangor KL by


SUNGAI PANJANG – Kira-kira 150 penduduk di Rancangan Tanah Belia 2, di sini, menggesa kerajaan negeri menyelesaikan segera kemelut permohonan hak pemilikan lot tanah kediaman di kampung itu yang masih belum diluluskan sejak lebih 15 tahun lalu.


Difahamkan, pelbagai karenah birokrasi terpaksa diharungi penduduk hingga menyukarkan mereka memperoleh hak pemilikan tanah kediaman.


Seorang penduduk, Mohd Shukri Samingan, 29, berkata, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam hanya mempertimbangkan permohonan pemilikan tanah dengan syarat penduduk hendaklah membina dahulu kediaman di lot terbabit.


“Saya sendiri dah mohon lot rumah sejak sekian lama, tapi sampai sekarang masih belum diluluskan. Jika tanah yang kami mohon dipenuhi semak-samun dan hutan menebal, permohonan kami akan ditolak serta-merta.


“Bayangkanlah, kami yang bekerja di kampung macam mana nak mendirikan rumah dengan pendapatan yang tak seberapa. Tanah lot yang saya mohon pula pedalaman, tak ada lagi kemudahan jalan dan keperluan asas lain seperti bekalan air dan elektrik,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, malah sehingga kini, dia yang sudah berkeluarga terpaksa menumpang di rumah ibunya di kampung berkenaan.


Permohonan rumit


Seorang penduduk, Mat Amir Sarkawi, 72, berkata, meskipun dia  menerima hak pemilikan tanah, namun permohonan menantunya untuk memiliki geran masih tidak diperoleh.


“Disebabkan masalah ini, anak dan menantu terpaksa tinggal di rumah saya sedangkan mereka dah berkahwin dan dah tentu mengimpikan hidup berkeluarga dan memiliki kediaman sendiri,” katanya.


Menurut Mat Amir, segala bantuan kerajaan Persekutuan seperti program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) atau Rumah Rakyat 1Malaysia tidak dapat dinikmati disebabkan tiada surat hak milik.


“Nak mohon bantuan rumah kerajaan Persekutuan memang rumit sebab syarat utamanya mesti memiliki tanah sendiri. Rata-rata penduduk kampung berpendapatan rendah dan mereka berharap dapat subsidi daripada kerajaan untuk miliki rumah persendirian.


“Jika keadaan ini berterusan, kita bimbang lebih ramai lagi penduduk terutama generasi baru terpaksa keluar dari kampung dan selebihnya yang sudah berkahwin pula masih menumpang di rumah ibu bapa masing-masing,” katanya.


Tidak seperti dijanjikan


Yusry Sarimon, 62, berkata, penduduk yang memiliki geran hak milik pula buntu berapakah jumlah sebenar premium tanah yang harus dijelaskan kepada kerajaan negeri.


Menurutnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang hadir pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Dewan Hala Cara Baru, Parit 16, Sungai Panjang, April lalu, mengumumkan pemberian diskaun premium hak pemilikan tanah kediaman dan pertanian terbesar di negeri ini.


“Menteri besar kata, kami kena bayar premium RM1,000 saja tapi bila nak bayar di pejabat tanah banyak pula syarat yang dikenakan. Setahu saya, bayaran RM1,000 itu hanyalah bayaran ansuran dan bukan jumlah premium sebenar yang perlu kami bayar.


“Jika betul hanya RM1,000 yang perlu kami bayar, saya minta kerajaan negeri pulangkan semula wang yang dah kami bayar sebelum ini,” katanya.


Mohd Razi Md Ani, 57, berkata, penduduk celaru dengan janji manis yang ditabur kerajaan negeri.


“Saya pun hairan sebab terpaksa bayar lebih RM3,000 berbanding RM1,000 seperti yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini.


“Kami mohon penjelasan daripada Menteri Besar supaya perkara seperti ini tidak dipolitikkan,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Belia 2,  Hodari Ismail berkata, pihaknya sering menerima aduan daripada penduduk yang masih menanti hak pemilikan tanah.


“Saya merayu pihak berkuasa segera menangani masalah terbabit. Apa jua bantuan kerajaan Persekutuan untuk pemilikan rumah kediaman memerlukan geran dan ini antara masalah utama penduduk kampung ini.


“Saya harap, janganlah politikkan isu ini seolah-olah pihak kerajaan negeri menyekat segala bentuk bantuan daripada kerajaan Persekutuan yang ingin membantu penduduk memiliki rumah.


“Kalau nak harapkan penduduk membina rumah sendiri memang susah sebab rata-rata mereka hanyalah bekerja sendiri dan berpendapatan rendah,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]