Pendaki sesat di Gunung Chemendung

in Semasa by


KLUANG – Seorang lelaki yang mengikuti ekspedisi mendaki gunung bersama 15 rakannya, dipercayai sesat di Gunung Chemendung berhampiran Felda Ulu Dengar,  dekat sini, Ahad lalu.


Mangsa, Muhamad Shahrul Nizam Mohamad Shah, 23, dipercayai sesat ketika menuruni gunung bersama rakan-rakannya pada kira-kira jam 1.45 petang.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, selepas menyedari mangsa tiada, seorang rakannya, Ahmad Syukri Mohmad Samiri, 26, membuat laporan pada jam 1.35 petang semalam di Balai Polis Kampung Gajah.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa disambung pagi ini. – Foto ihsan polis


“Susulan laporan itu, kami menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 15 anggota polis, Jabatan Perhutanan, bomba dan penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu 15 rakan mangsa.


“Hasil siasatan awal, kami dapati 16 pendaki ini mula mendaki puncak Gunung Chemendung itu pada 8.30 pagi Ahad.


“Pada 1.45 petang mereka bergerak menuruni gunung berkenaan namun pada jam 3 petang, mereka sedar mangsa tiada bersama,” katanya kepada pemberita, hari ini.


Mohamad berkata, rakan Muhamad Shahrul berjaya menghubungi telefon bimbit mangsa dan cuba mencarinya, malangnya gagal kerana tidak mengetahui kedudukan sebenar mangsa.


Katanya, apabila pencarian mereka menemui jalan buntu, rakan-rakan mangsa segera membuat laporan polis.


“Kami terpaksa menghentikan SAR pada 6 petang semalam dan menyambung semula operasi pada pagi ini,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]