Penduduk diminta solat hajat

in Edisi by


KOTA BHARU –  Susulan banjir yang melanda Kelantan, semua pihak termasuk pemimpin, rakyat dan  pihak berwajib diminta melakukan solat hajat dan bermunajat di masjid serta surau di seluruh Kelantan.


Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia perlu dibuat bersama-sama bagi memohon kepada ALLAH SWT supaya rakyat negeri ini dilindungi daripada segala musibah banjir yang tidak mampu dihadapi kudrat manusia.


Menurutnya, beliau berharap situasi banjir di negeri ini tidak berpanjangan dan mangsa yang berada di pusat pemindahan dapat pulang ke rumah masing-masing dengan selamat.


“Musibah banjir adalah ujian ALLAH kepada kita semua bagi menguji keimanan dan kesabaran hambaNya.


“Semua pihak perlulah memastikan keselamatan keluarga masing-masing khasnya anak-anak kecil supaya tidak leka bermain air termasuklah memaklumkan dalam kadar segera kepada pihak keselamatan jika berlaku apa jua kemalangan tidak diingini.


“Dalam situasi hujan yang masih tidak menentu dan air didapati naik dengan cepat dibeberapa lokasi. Saya berharap kepada mereka yang tinggal dikawasan rendah hendaklah membuat persiapan berpindah seberapa segera sebelum menjelang waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, tindakan segera memudahkan pihak berwajib mengendalikan urusan di pusat pemindahan selain keselamatan nyawa mesti diutamakan.


Katanya, orang ramai boleh merujuk kepada info semasa banjir Kerajaan Negeri bagi membuat persediaan sewajarnya menerusi http://ebanjir.kelantan.gov.my/p_pmrpt04.php ataupun  publicinfobanjir.water.gov.my


Dalam masa sama beliau mahu semua Jabatan Negeri dan Persekutuan berada dalam keadaan siap sedia dan turun membantu mangsa-mangsa banjir di semua lokasi pemindahan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]