Projek diteruskan walau ditentang

in Edisi Selangor KL by


TANJONG KARANG – Rancangan untuk membangunkan Padang Astaka Tanjong Karang dan Water Front Tanjong Karang akan diteruskan tahun depan demi kemudahan penduduk.


Setiausaha Politik Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Faizal Abdullah berkata, syarat pembangunan terbabit sudah pun dipenuhi namun masih berdepan beberapa halangan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan projek ditangguhkan.


“Sebelum ini, rancangan pembangunan Tanjong Karang yang menggunakan duit kementerian sudah dipanjangkan pada awal pertengahan tahun ini dan sudah penuhi pelbagai syarat ditetapkan.


“Tetapi selepas dibawa ke peringkat Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), projek itu ditangguhkan. Sedangkan kita tak guna satu sen pun peruntukan kerajaan negeri,” katanya selepas merasmikan Majlis Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Batu 12, Tanjong Karang.


Hadir sama, Adun Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak, Setiausaha Sulit Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jasman Anuar dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang, Maruwan Ahmad.


Faizal mendakwa projek pembangunan Tanjong Karang yang dijangka menelan kos RM8 juta termasuk naik taraf landskap, tanah perkuburan, padang bola dan pencahayaan lampu itu ditentang kerajaan negeri.


“Saya berpendapat, tindakan kerajaan negeri yang cuba menangguhkan projek ini hanya bertujuan mahu perlihatkan Tan Sri Noh sebagai mungkir janji sebab projek ini sudah diumumkan kepada rakyat Tanjong Karang.


“Sebab itu, Tan Sri Noh sudah memberikan arahan untuk meneruskan projek pembangunan ini tahun depan, biarlah keluar notis sekali pun kata tak ikut peraturan tapi kita buat dulu,” katanya.


Ketua Umno Bahagian Kapar itu menyifatkan tindakan kerajaan negeri yang tidak profesional dan jelas mahu menimbulkan persepsi negatif terhadap pemimpin Umno.


“Sedangkan projek pembangunan ni semata-mata untuk rakyat. Saya pun tak fahamlah kerajaan negeri ni sebab kata kita anak tirikan dan nak balas dendam negeri kalah dan tapi bila nak bawa pembangunan, kena disekat pula.


“Kalau kerja nak cari salah orang, jumpa salah orang tapi kita nak buat pembangunan untuk rakyat,” katanya.


Dalam pada itu, dalam majlis tersebut, Faizal turut beramah mesra dengan penduduk dan meninjau rumah penduduk yang siap dibaik pulih dengan kos RM10,000 sehingga RM13,000.


Beliau yang mewakili Ahli Parlimen Tanjong Karang itu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 diluluskan untuk menaik taraf jalan pakat Batu 12.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Pinang, Hashim Zakaria turut berterima kasih terhadap kerja penurapan Dataran Batu 12.


“Kita juga berterima kasih kerana permohonan untuk jejantas bermotosikal dapat dipindahkan ke kawasan Batu 12 ini sekali gus memudahkan penduduk untuk ke masjid dan sekolah.


“Banyak pembangunan yang dibawa wakil rakyat untuk penduduk Tanjong Karang termasuk baik pulih rumah usang bagi mereka yang layak,” katanya kepada Sinar Harian.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]