Usaha atasi lelaki asing kahwini warga emas

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diminta mengkaji kaedah bagi mengatasi isu eksploitasi perkahwinan oleh lelaki warga asing terhadap wanita Islam tempatan warga emas di negeri ini.


Exco Agama Johor Abd Mutalip Abd Rahim berkata,  antara kaedah yang boleh dipertimbang adalah memberi kaunseling atau pandangan sejak awal kepada wanita warga emas sebelum mereka berkahwin dengan lelaki warga asing.


“Mungkin kita (JAINJ) mengambil kaedah bagi perkahwinan yang berbeza umur mengikut cara kufu (sama taraf), bila ada kes seperti ini dengan dari awal lagi kita akan bagi kaunseling,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.


Abd Mutalip berkata demikian menjawab soalan Mohd Ismail Roslan (BN-Semerah) yang ingin tahu adakah kerajaan akan mewujudkan dasar mengenai perkahwinan wanita Islam tempatan warga emas atau berusia lanjut dengan warga asing muda dan kacak yang antaranya hanya bertujuan untuk mengeksploitasi, misalnya untuk mereka mendapatkan kemudahan perniagaan.


Mohd Ismail dalam soalannya memberi contoh berlaku eksploitasi perkahwinan di kawasannya melibatkan peniaga lelaki warga asing berusia 35 tahun yang berkahwin dengan wanita warga emas berusia 65 tahun.


Abd Mutalip berkata perkahwinan membabitkan lelaki asing dan wanita warga emas di negeri ini mungkin dianggap kes terpencil ketika ini, namun, kemungkinan ia akan menular pada masa akan datang disebabkan ramai lelaki warga asing mencari rezeki di negeri ini.


Beliau berkata sebenarnya, peraturan sedia ada ketika ini sudah mencukupi untuk mengekang eksploitasi perkahwinan seumpama itu.


Katanya, ini kerana banyak proses yang perlu dilalui oleh warganegara asing seperti akuan Islam daripada tempat asalnya, surat kebenaran berkahwin daripada pejabat agama di negara asal, pengesahan dokumen perjalanan daripada Jabatan Imigresen, laporan saringan ujian HIV/AIDS, kebenaran daripada kedutaan atau pejabat konsulat negara berkenaan, kebenaran atau perintah mahkamah jika berkaitan dengan wali hakim dan sebagainya.


Menurut Abd Mutalip, undang-undang dan peraturan berkaitan nikah kahwin di negeri Johor adalah dikanunkan berdasarkan hukum syarak, yang berkuat kuasa sehingga hari ini ialah Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 dan Tatacara dan Panduan Pengurusan Nikah, Cerai dan Ruju’ Negeri Johor 2015 (Pindaan 2016).


Katanya antara perkara yang dikanunkan ialah peraturan tentang permohonan kebenaran berkahwin dengan warganegara asing di negeri Johor dan permohonan kebenaran berkahwin oleh warganegara asing di negeri Johor.


“Adapun niat untuk mengeksploitasi perkahwinan dinilai dalam permohonan kebenaran berkahwin  menggunakan kaedah asas fiqh yang menyebut hukum yang dinilai adalah berdasarkan bukti yang  zahir, manakala yang tersirat hanya Allah yang mengetahui rahsianya,” katanya.- Bernama


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]