
TRASET – SEMPADAN VIETNAM. Selepas menanti hampir lima tahun, kira kira 2,000 penduduk Islam Kampung Kabai dan 1,000 penduduk Kampung Traset, sempadan Vietnam akan memiliki masjid baharu.
Perkhabaran gembira itu disampaikan oleh Ketua NGO Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican, bersempena lawatan beliau ke sana.
Ketika kunjungannya, Mustapha merasmikan dua tapak masjid baharu untuk kegunaan masyarakat Islam di kampung itu.
“Hari ini, saya menyerahkan surat khas pembinaan masjid kepada iman dan hakim Kampung Kabai, Ismail Lub, dan seterusnya menyerahkan surat khas untuk pembinaan masjid Traset kepada imam dan ketua kampung berkenaan, Zakaria Husin turut disaksikan oleh ketua NGO Islam Kemboja, Ali Said,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar Kementerian Wilayah Persekutuan berkata, rata-rata penduduk di situ adalah petani yang hidup dalam kemiskinan.
“Keperluan kepada Masjid ini amat diperlukan kerana kawasan ini penduduk Islam semakin bertambah setiap tahun,” katanya.
Menurutnya, pembinaan masjid itu dibiayai sepenuhnya oleh penderma dari Malaysia.
“Sementara kos untuk masjid di anggaran ASD100,000 (RM411,000), pembinaan masjid akan lengkap dengan kemudahan tandas,tempai ambil air sembahyang dan tempat solat perempuan,” katanya.

Mustapha berkata, kedua-dua masjid itu dijangka siap sebelum Ramadan tahun depan.
“Alhamdulillah saya amat berterima kasih kepada kerajaan Kemboja, para penderma yang bermurah hati dan wisma Putra,” katanya.
Menurutnya, beliau sebelum ini berjaya menyiapkan empat masjid, tiga sekolah Agama, dan 3,000 biji Telaga sejak NGO diasaskannya ditubuhkan pada 1999 di Wisma Putra.
Katanya, pengalaman beliau selama 12 tahun di dalam perkhidmatan kerajaan membantunya untuk bergiat aktif dalam NGO yang diterajuinya.
“Saya berkhidmat di tiga Kementerian sepanjang tempoh itu, antaranya, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri KDN.
“Banyak misi luar yang saya pergi antaranya di Iraq, Iran, Bosnia, Kosovo, Timur Leste, Somalia dan di kawasan berkonflik di Asia barat,” katanya.
Justeru katanya, pengalamannya itu digunakan sepenuhnya untuk membantu umat Islam Kemboja .
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]