Bahana tegur lelaki buat bising

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – Seorang warga emas menerima 13 jahitan di belakang badan dan tengkuk akibat ditikam dengan gunting oleh seorang lelaki di Taman JPN 2 Yong Peng di sini, malam kelmarin.


Mangsa, Saiman Safar, 65, berkata, dia menegur suspek yang berseorangan di wakaf taman permainan di kawasan berkenaan supaya tidak membuat bising hingga mengganggu jiran.


“Saya mahu keluar minum bersama kawan dan singgah sebentar di taman permainan depan rumah untuk menegur lelaki berkenaan. Saya cakap elok-elok jangan buat bising sebab orang mahu tidur dan minta dia pulang ke rumah, tetapi lelaki berkenaan tiba-tiba menyerang dan menikam belakang badan saya.


“Saya kembali semula ke rumah dengan menunggang motosikal, tetapi suspek mengejar dan menikam di bahagian tengkuk pula. Saya menjerit minta tolong dengan ahli keluarga sebaik tiba di pagar rumah dan lelaki berkenaan melarikan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Saiman berkata, dia menyedari dirinya cedera selepas berlumuran darah ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Yong Peng sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan lanjut.


“Saya tak rasa sakit kecuali rasa berdenyut dan hampir pitam. Sebaik tiba di klinik baru saya perasan darah berlumuran pada baju.


“Ini kali pertama saya mengalami kejadian seperti ini dan memang saya tak sangka akan berlaku kerana sebelum ini saya biasa menegur anak-anak muda yang berpelesiran dan membuat bising, tapi mereka menerimanya” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan KS Mender Singh berkata, suspek berusia 37 tahun berjaya ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah tidak jauh dari rumah mangsa.


Katanya, setelah menyedari kehadiran polis, suspek terus melarikan diri melalui pintu belakang dan anggota berjaya menangkap suspek di lorong belakang rumah.


“Daripada siasatan awal mendapati suspek menyerang mangsa selepas tidak berpuas hati dan suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]