Bekas penasihat Hindraf diarah bayar RM50,000

in Semasa by


GEORGETOWN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas penasihat kebangsaan Hindraf, N. Ganesan membayar ganti rugi RM50,000 masing-masing kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan timbalannya, Prof Dr. P. Ramasamy kerana memfitnah.


Saman fitnah itu difailkan oleh kedua-dua pemimpin negeri itu selepas Ganesan, selaku defendan, dalam satu sidang media pada 4 Disember 2013 mendakwa  bahawa plaintif tersebut telah menghantar kumpulan samseng untuk mengganggu sebuah mesyuarat  tertutup sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dihadiri defendan, empat hari sebelum itu.


Hakim Datuk Lim Chong Fong turut mengarahkan Ganesan membayar kos RM25,000 kepada plaintif.


Dalam penghakimannya, Lim berkata wujud unsur fitnah dalam saman itu selepas defendan gagal membuktikan kesahihan dakwaannya pada sidang media tersebut.


Selain itu, hakim itu berkata alasan pihak defendan yang membuat sidang media bagi kepentingan awam juga tidak diterima memandangkan defendan telah membuat laporan polis tetapi tidak memberi peluang kepada polis untuk menjalankan siasatan terlebih dahulu.


“Tetapi defendan telah membuat sidang media terlebih dahulu dan membuat tuduhan sebelum pihak polis selesai menjalankan siasatan,” katanya.


Saman tersebut difailkan Guan Eng dan Ramasamy pada 2015.


Dalam sidang tersebut yang dikendali oleh ‘Concerned Citizens of the Indian Community’ berkaitan isu krematorium di Lorong Batu Lanchang, defendan mendakwa plaintif  telah menghantar kumpulan untuk mengganggu mesyuarat itu.


Guan Eng dan Ramasamy, diwakili peguam Simon Murali dan Kok Yuen Lin  manakala Ganesan diwakili peguam S.Tilaga dan dan Yokinee Selvam. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]