Kolam ikan ragut nyawa pelajar tahfiz

in Edisi by


TUMPAT – Disangka rakannya hanya bergurau tetapi mangsa, Muhamad Bazli Seriumi, 16,  lemas di dalam kolam ikan terbiar di kampung Pulau Raja di sini, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengahari, mangsa pelajar  pusat Tahfiz Asmaa Al- Ikhlas  turun ke dalam kolam itu  untuk bersama lima lagi rakannya yang berada di atas bot.


Rakannya,  Mohd Anas  Mohamed , 13, berkata, dia nampak tangan mangsa terkapai-kapai yang disangkanya hanya gurauan kerana mangsa berada hampir dengan tebing.


“Tak sangka dia lemas kerana sebaik kakinya melangkah masuk ke dalam kolam itu, dia terus tenggelam.


“Kejadian berlaku sangat pantas, lebih kurang lima minit dia tak timbul-timbul, kami tak syak apa-apa kerana dia pandai berenang,” katanya.


Kejadian itu kemudiannya disedari guru mangsa, Abdul Rahman  Zaidi, 23, yang turut berada di dalam kolam tersebut sedalam hampir satu meter.


Mereka ke kolam tersebut kira-kira 200 meter dari asrama untuk mengalihkan bot naik ke darat.


Abdul Rahman berkata, menyedari kejadian itu dia terus menyelam mencari mangsa bersama pengawal keselamatan yang berada berhampiran kolam itu.


“Mangsa berjaya ditemui selepas 10 minit menyelam di dasar kolam tersebut, tetapi arwah sudah tidak bernyawa,” katanya.


Jenazah dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kemudiannya dituntut keluarga untuk dikebumikan di Kampung Bunut Payung, Kota Bharu.


 


Mangsa merupakan anak sulung daripada empat beradik berasal dari kampung Wakaf Che Yeh mendaftar di pusat Tahfiz tersebut pada September lalu dan sudah menghafaz empat juzuk Al-Quran.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]