KWSP catat pendapatan pelaburan tinggi

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  mencatatkan peningkatan dalam pendapatan pelaburan suku tahunan kepada RM12.95 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September, 2017, meningkat 5.13 peratus, daripada RM12.32 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.


“Keseluruhan prestasi portfolio KWSP mendapat manfaat daripada peningkatan pasaran ekuiti luar negara dalam suku ketiga 2017,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif, hari ini.


Beliau berkata dana pencen itu tidak melihat pulangan yang sama daripada pasaran ekuiti domestik kerana prestasi FBM KLCI tidak berubah berbanding pasaran lain, yang mencatatkan pertumbuhan antara dua dan lima peratus.  


KWSP mencatatkan penjejasan nilai sebanyak RM791.55 juta, dalam suku tersebut, selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), dan ini adalah lebih tinggi berbanding RM349.59 juta yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun lepas, katanya dalam satu kenyataan hari ini.  


Ini disebabkan oleh peruntukan tinggi yang dicatatkan bagi ekuiti domestik dalam sektor telekomunikasi dan minyak dan gas, katanya.


Dalam suku ketiga 2017, ekuiti, yang merangkumi 41.86 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP, menyumbang sebanyak RM7.91 bilion atau  61.09 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan.


Pendapatan yang dicatatkan itu adalah 12.75 peratus lebih tinggi daripada RM7.02 bilion yang dicatatkan dalam suku tahun yang sama pada 2016, katanya.


Setakat September 2017, sebanyak 50.45 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang merekodkan pendapatan sebanyak RM4.49 bilion, bersamaan dengan 34.63 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan suku tahun, kata  Mohamad Nasir.


Daripada RM4.49 bilion kelas aset, Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf menyumbang RM2.17 bilion dalam suku ketiga 2017, meningkat 10.96 peratus atau RM213.98 juta, daripada RM1.95 bilion yang dicatatkan dalam suku yang sama pada 2016, sejajar dengan perkembangan portfolio.


Bagaimanapun, pinjaman dan bon mencatatkan pendapatan pelaburan lebih rendah sebanyak RM2.32 bilion berbanding RM2.56 bilion dalam suku yang sama tahun lepas, katanya.


Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang  dan Hartanah dan Infrastruktur masing-masing mewakili 3.53 peratus dan 4.16 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburan dan menyumbang pendapatan pelaburan masing-masing sebanyak RM274.27 juta dan RM263.83 juta dalam suku ketiga 2017.


“Pelaburan kami dalam Instrumen Pasaran Wang kini melebihi sasaran tiga peratus di bawah Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP berikutan halangan berterusan ke atas kawal selia pelaburan baharu luar negara.


Dalam jangka masa panjang, KWSP perlu terus mengembangkan portfolio aset luar negara kerana ia penting untuk pempelbagaian kami dan memberi peluang untuk kami mencapai sasaran pulangan,” kata Mohamad Nasir.


Setakat 30 September, 2017, pelaburan luar negara KWSP yang menyumbang 30 peratus daripada jumlah aset pelaburan, menyumbang 48 peratus kepada keseluruhan pendapatan pelaburan dalam suku tersebut.


Pempelbagaian ke dalam pelbagai kelas aset, negara dan mata wang telah membantu KWSP untuk mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi untuk suku tahun tersebut walaupun terdapat perbezaan yang ketara antara prestasi pasaran dunia.


Daripada pendapatan pelaburan sebanyak RM12.95 bilion dalam suku ketiga 2017, sebanyak RM860.83 juta diperuntukkan bagi Simpanan Syariah, yang memperoleh pendapatan hanya daripada bahagian aset patuh Syariah, manakala RM12.09 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional, yang memperoleh pendapatan daripada kedua-dua bahagian aset patuh Syariah dan aset tidak patuh Syariah.  


Nilai aset pelaburan KWSP kini mencecah RM771.20 bilion, meningkat 5.48 peratus atau RM40.09 bilion daripada RM731.11 bilion, pada 31 Disember, 2016.


Daripada jumlah aset pelaburan, sebanyak RM370.10 bilion atau 48 peratus, adalah dalam pelaburan patuh Syariah manakala selebihnya dalam aset tidak patuh Syariah.


“Kami masih mempunyai satu lagi suku tahun sebelum akhir tahun, dan kami yakin bahawa pempelbagaian ke dalam pelbagai aset membolehkan kami untuk mencapai dividen sebenar tidak kurang daripada dua peratus melebihi kadar inflasi untuk tiga tahun berturut-turut untuk kedua-dua Simpanan Syariah dan Simpanan Konvensional,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]