Laluan utama dinaiki air

in Edisi by


TANAH MERAH – Laluan utama di Chekok Ipoh, Kusial, dekat sini, yang dinaiki air sejak petang semalam masih ditutup kepada semua kenderaan sehingga jam 3 petang ini.


Jalan itu dikatakan mulai dinaiki air kira-kira jam 6 petang, kelmarin dan surut sedikit awal pagi tadi sebelum paras air di laluan itu kembali naik petang ini.


Tinjauan mendapati, penduduk beberapa kampung sekitar terpaksa menggunakan bot untuk keluar masuk apabila laluan itu ditenggelami air sedalam kira-kira tiga meter.


Selain Chekok Ipoh, jalan utama di Hutan Lanjut dan Banggol Nering di laluan sama turut ditenggelami air membabitkan jarak keseluruhan sejauh kira-kira dua kilometer.


Sementara itu, Pegawai Operasi Pertahanan Awam daerah, Leftenan (PA) Mohd Fadhli Hassan berkata, sebanyak enam jalan kampung di daerah ini ditenggelami air sehingga awal pagi tadi.


Katanya, antaranya Jalan Alor Pasir-Padang Kijang yang ditenggelami air sedalam dua meter dan tidak boleh dilalui semua kenderaan.


“Laluan lain dinaiki air ialah Jalan Kampung Kulim-Kampung Tapak Banjir, Jalan Kampung Pasir Panjang-Kerilla, Jalan Kampung Rambau-Ladang Kerilla, Jalan Kampung Terasil-Kampung Kulim dan Jalan Kampung Bechah Keling-Kampung Bendang Nyior,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]