Pasangan tabah diuji sakit

in Edisi Johor by


LABIS – Sudahlah suami terlantar sakit di rumah, kini isterinya pula tidak dapat keluar bekerja selepas kaki kirinya cedera akibat tersadung batu.


Rukiah Zakaria, 35, berkata, dia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sejak suaminya, Mohd Noh Alias, 55, terlantar akibat sakit saraf sejak sembilan bulan lalu.


Bagaimanapun katanya, hidup mereka sekali lagi diuji apabila pergelangan kaki kirinya patah pada 21 November lalu.


“Ketika itu saya baru sampai di rumah selepas pulang bekerja dan waktu nak masuk rumah, kaki saya tersandung batu. Awalnya saya ingatkan terkehel saja tapi makin lama sakitnya makin teruk.


“Saya terpaksa minta bantuan jiran untuk hubungi ambulans Klinik Kesihatan Pekan Ayer Panas sebelum doktor sahkan pergelangan kaki kiri saya patah dan terpaksa disimen,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Menurut ibu enam anak yang bekerja di kedai menjual herba di pekan Labis ini, dia diberikan cuti sakit sehingga 5 Disember memandangkan pergerakannya agak terbatas kerana perlu menggunakan tongkat.


Katanya, dia kini terpaksa mengharapkan anak sulungnya, Husna Nur Aishah, 10, dan anak keduanya, Nur Ariana Balqis, 9, untuk menguruskan suaminya dan memasak.


“Sebelum suami sakit lagi saya memang latih anak-anak untuk berdikari. Husna dan Ariana juga yang akan kemas rumah serta pakaikan suami lampin pakai buang.


“Sekarang ini pendapatan saya juga terjejas dan hanya bergantung kepada gaji pokok saja sepanjang cuti sakit ini. Saya perlu kembali bekerja kerana anak-anak dan suami sekarang bergantung sepenuhnya dengan saya,” katanya.


Rukiah berkata, walaupun anak-anaknya ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400, namun sebahagiannya digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan susu anak bongsunya, Nur Damia Farisya, 1.


Katanya, dia kini bingung memikirkan persiapan persekolahan tiga anaknya yang bersekolah rendah, selain berharap bantuan Baitulmal yang dimohon beberapa bulan lalu diluluskan bagi meringankan beban keluarganya.


Sementara itu, Mohd Noh yang hanya mampu terbaring mengakui sedih apabila terpaksa menyerahkan tugas menyara keluarga kepada isterinya.


“Saya baru nak minta isteri bawa saya ke JKM Labis untuk buat kad OKU tapi sekarang terpaksa tangguhkan dahulu sampai isteri betul-betul sihat.


“Ketika ini hanya tangan yang boleh bergerak. Nak buang air kecil pun melalui tiub. Saya juga perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru beberapa bulan sekali,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]