Pekan Rantau Panjang lumpuh

in Edisi by


RANTAU PANJANG – Operasi memindahkan penduduk diteruskan selepas pekan Rantau Panjang lumpuh dipenuhi air sehingga paras 1 meter.


Tinjauan Sinar Harian mendapati premis perniagaan di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang ditutup sepenuhnya dan laluan ke kawasan berkenaan hanya boleh dilalui kenderaan berat.


Antara jalan yang ditutup adalah Jalan Banggol Kulim dan laluan utama ICQS Rantau Panjang ke Thailand juga ditutup kepada kenderaan ringan.


Jabatan Bomba dan Penyelamat membantu lebih memindahkan mangsa di sekitar Zon Bebas Cukai Rantau Panjang Kampung Kubang Chenok dan Jalan Sekolah Cina ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi.


Mangsa, Mohd Rahman, 52, berkata, dia terlalu leka mengemas rumah dan menyelamatkan barang beharga ke tempat tinggi sehingga tidak menyedari kampung berkenaan ditenggelami air.


“Anak dan isteri dah lama ke pusat pemindahan sebab saya risau banjir kali ini mungkin mengatasi bah besar 2014 lalu dengan paras Sungai Golok, 10.84 meter.


“Pasa mulanya saya nak tinggal di rumah sepanjang banjir tapi melihat pada paras air di luar rumah, saya mula risau dan segera meminta bantuan daripada pasukan bomba,” katanya.


Sementara itu,  Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Adni Ibrahim berkata, pemantauan mendapati air menunjukkan trend menurun namun masih memenuhi beberapa kawasan dinaiki air seperti Kubang Kuai, Tasik Bakong dan pekan Rantau Panjang.


Katanya, air naik mendadak selepas paras air Sungai Golok melebihi bacaan 10 meter sejak awal pagi semalam dan turun sedikit selepas jam 10 pagi tadi.


“Memandangkan masih ada penduduk tidak berpindah, kita buat rondaan di kawasan rendah dan memindahkan mangsa ke pusat pemindahan,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]