Pertimbang elaun kritikal RM200

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Kerajaan persekutuan diminta mempertimbangkan kelulusan berkenaan elaun kritikal RM200 kepada anggota dan pegawai bomba di seluruh negara sebagai menghargai pengorbanan dan jasa pasukan berkenaan.


Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya sudah mengemukakan perkara itu ke dalam Mesyuarat Kabinet dan juga Parlimen untuk dibahaskan.


“Saya harap keputusannya positif sekali gus membolehkan kesemua 13,000 bomba melibatkan semua gred di negara ini dapat menikmati elaun ini sepertimana pasukan beruniform lain contohnya PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain.


“Harus diingat bahawa bomba juga berhadapan dengan risiko hingga boleh mengancam nyawa ketika menjalankan kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media ketika merasmikan majlis perhimpunan bulanan (November) 2017 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di Ibu Pejabat pasukan itu di Bukit Jelutong, di sini, semalam.


Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, bomba juga seperti pasukan beruniform lain yang turut dibekukan cuti lebih-lebih lagi ketika musim banjir dan tengkujuh.


“Dari segi bencana, saya tidak nafikan bahawa pasukan lain juga terpaksa bergadai nyawa namun pasukan bomba sebenarnya lebih banyak berdepan risiko ketika menjalankan tugas.


“Contohnya, terdapat kes sebelum ini seorang anggota bomba yang melecur badan ketika memadamkan kebakaran dalam satu kejadian,” katanya


Beliau berkata, pihaknya berharap elaun itu diluluskan dan boleh dinikmati kesemua anggota dan pegawai bomba sepertimana elaun yang dinikmati unit beruniform lain di negara ini.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]