Premis jual barang disyaki tiruan digempur

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) membongkar lagi aktiviti menyimpan dan menjual kasut serta selipar berjenama disyaki tiruan.


Pembongkaran itu dibuat dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di sini, kira-kira jam 11 pagi, semalam.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Wan Mhd Yusof W Taib berkata, serbuan melibatkan dua premis iaitu kedai dan stor.


Menurutnya, 1,255 pasang kasut berjenama dan 233 pasang selipar melibatkan jenama Adidas dan Reebok disyaki tiruan bernilai kira-kira RM31,825 dirampas ketika serbuan.


“Dalam serbuan pertama, 1,050 pasang kasut dan 233 pasang selipar telah dirampas, manakala dalam serbuan kedua, 205 pasang kasut,” katanya.


Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua premis itu milik individu sama.


Katanya, modus operandi premis itu adalah membekalkan barangan tersebut di uptown dan pasar malam sekitar Lembah Klang. Menurutnya, barang disyaki tiruan itu diperoleh dari luar negara sebelum dijual secara borong.


“Kita telah merekod keterangan pemilik premis terbabit yang merupakan warga tempatan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]