SPS Chelstar idam slot kebangsaan

in Sukan by


JUARA Kumpulan C Zon Barat Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2017/2018, Seberang Perai Selatan (SPS) Chelstar muncul pasukan pertama dari Pulau Pinang mara ke pusingan kalah mati sejak kejohanan itu diperkenalkan tiga tahun lalu.


Berbekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan dengan dua menang dan dua seri, pasukan tersebut berharap ia mampu menjadi motivasi untuk semua pemain bagi menghadapi Juara Kumpulan A, Tanjung Malim dan Juara Kumpulan B, Ipoh bagi merebut dua slot zon itu untuk mara ke peringkat kebangsaan.


Pengurus pasukan LBR SPS Chelstar, Ong Eng Hua berkata, keyakinan pemainnya berada pada tahap terbaik malah masing-masing bermotivasi mahu merealisasikan sasaran untuk menempatkan diri bersama 16 pasukan terbaik kebangsaan.


Menurutnya, kerjasama baik di antara semua pihak membabitkan pengurusan, jurulatih dan pemain menyaksikan keharmoniaan dalam pasukan itu turut terjaga.


“Kejayaan ini adalah usaha semua pihak yang terlibat dengan SPS Chelstar sejak pada awal pembentukan pasukan kerana ia merupakan kerjasama pasukan dan masing-masing sudah menjalankan tanggungjawab dengan baik.


“Selepas ini kami akan cuba merebut kedudukan dua terbaik kerana jelas SPS Chelstar pasang impian besar untuk bersaing di peringkat kebangsaan pula dan setiap pemain memang jelas dengan hasrat kami pada tahun ini,” katanya.


Eng Hua berkata, pasukannya kini terus fokus dengan persiapan rapi sebelum saingan kalah mati kembali bersambung pada 9 Disember depan.


Katanya, Tanjung Malim dan Ipoh jelas turut mempamerkan aksi konsisten di peringkat kumpulan dan beliau berharap pasukannya mampu melakukan kejutan terutamanya beraksi di laman lawan kelak.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]