Tiga buah bot nelayan karam dirempuh sisa kayu

in Edisi Terengganu by


KUALA BESUT- Tiga buah bot nelayan pesisir pantai (kelas A) yang diletakkan di jeti Kampung Nail dekat sini karam selepas dirempuh sisa kayu yang dihanyutkan arus deras dari hulu Sungai Besut awal pagi tadi.


Bot yang diletakkan bersebelahan antara satu sama lain itu milik Cik  Ayabha Yusoff, 42, Ameran Ismail, 48 dan Muhammad Hafiz Razali,24.


Menurut Cik Ayhbha, kejadian disedari kira-kira jam 4 pagi oleh anak saudaranya yang tinggal berdekatan jeti itu sebelum memaklum kepadanya yang tinggal di kampung.


“Ketiga-tiga bot tersebut diletak bersebelahan dan dipercayai salah sebuah terlebih dahulu dirempuh sisa kayu balak dari hulu sungai yang mengalir deras susulan hujan lebat sejak kelmarin.


“Saya dapati ketiga-tiga bot sudah tenggelam dan kami buntu bagaimanapun untuk keluar menangkap ikan selepas ini kerana kos menaikkan dan membaiki bot dianggarkan sekurang-kurangnya RM15,000 sebuah,” katanya yang ditemui semalam.


Hadir sama Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Besut, Tengku Harun Tengku Engku Ismail.


Cik Ayhbha berkata lagi, dia dan dua rakannya baru sahaja selesai membaiki bot tersebut yang menelan belanja kira-kira RM2,500 sebuah baru-baru ini sebagai persediaan untuk keluar menangkap ikan apabila cuaca baik nanti.


Katanya, ketika musim tengkujuh banyak sisa kayu dihanyutkan dari hulu ke muara Kuala Besut dan risiko bot nelayan yang diletakkan di jeti di kawasan muara terdedah kerosakan dan tenggelam akibat rempuhan itu.


“Pada tahun lepas sebuah bot karam akibat dirempuh sisa kayu hanyut menyebabkan ia langsung tidak dapat digunakan.


“Kami juga buntu untuk mencari wang bagi menaikkan bot ini dan membaikinya apatah lagi kali terakhir kami keluar ke laut adalah bulan lepas.


“Kami merayu kepada kerajaan atau agensi berkaitan untuk membantu meringankan beban mereka untuk menaikkan dan membaiki bot tersebut bagi memastikan mereka dapat mencari rezeki bagi menyara keluarga,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]