Wujudkan aktiviti di pusat pemindahan

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengarahkan agensi terlibat dalam pengurusan bencana mengadakan aktiviti di semua pusat pemindahan di negeri ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, langkah itu bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan di tahap yang terbaik sekali gus mengekalkan model prosedur operasi standard (SOP) yang mencapai piawaian Gold Standard dalam menangani bencana itu.


“Setakat ini saya berpuas hati dengan gerak kerja dan khidmat yang diberikan oleh pihak pengurusan bencana, cuma dalam mesyuarat mingguan exco tadi kita minta aktiviti di pusat-pusat pemindahan dilaksanakan dengan segera.


“Antara aktiviti yang dijalankan seperti aktiviti keagamaan, permainan bagi kanak-kanak, hiburan yang bersesuaian serta aktiviti kaunseling bagi mangsa yang berdepan dengan trauma akibat bencana itu,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman, di sini.


Sehubungan itu, Ahmad Razif berkata, pihaknya telah meminta peruntukan segera disalurkan bagi menjalankan aktiviti dan menceriakan pusat pemindahan mangsa banjir di negeri ini.


“Kita dah memohon peruntukan segera supaya aktiviti-aktiviti melibatkan beberapa agensi dapat dijalankan di pusat pemindahan banjir,” katanya.


Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan negeri kini memperkenalkan Talian Hotline 24 Jam Pejabat Menteri Besar Terengganu bermula hari ini bagi memudahkan orang ramai menyampaikan sebarang aduan.


Katanya, ia berperanan menerima maklumat, aduan dan bertindak menyalurkan kepada jabatan atau agensi yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan setiap permasalahan yang dilaporkan.


“Talian ini dapat membantu kerajaan mengenal pasti isu-isu semasa melalui aduan yang diterima.


“Ia juga secara tidak langsung akan membantu kerajaan negeri mendapatkan dan menyalurkan maklumat kepada pihak bertanggungjawab secara lebih bersepadu,” katanya.


Katanya, orang awam boleh menyampaikan sebarang aduan, masalah atau isu di talian 09 6225994 (waktu pejabat) dan 012 6103900 (luar waktu pejabat).


“Berpegang kepada tagline ‘Mudoh Sokmo’, orang ramai kini boleh mengemukakan sebarang aduan sama ada melalui panggilan telefon, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp dan sebagainya dengan lebih sistematik,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]