Api marak bermula dari siling

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Lapan beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka berusia lebih 90 tahun didiami mereka di Kampung Katub, Lenggeng, di sini musnah dalam kebakaran, kelmarin.


Kejadian kira-kira 8 malam itu menyebabkan keluarga terbabit mengalami kerugian dianggarkan lebih RM200,000. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Mangsa, Siti Muliani Nordin, 38, berkata, ketika kejadian dia bersama suami dan empat anak serta kedua ibu bapanya sedang berehat di rumah.


“Saya tengah tidur di dalam bilik kerana kepenatan baru pulang dari kerja.


“Saya terjaga apabila dengar anak menjerit ‘ibu….keluar  !’. Dalam keadaan mamai, saya bangun dan terdengar suami menjerit meminta hubungi bomba,” katanya.


Pada waktu itulah, kata Siti Muliani, dia nampak api mula marak dari siling di bilik bapanya sebelum bergegas turun menyelamatkan diri.

Keadaan rumah pusaka didiami lapan beranak yang musnah dalam kebakaran.


Bagaimanapun, dia bersyukur kerana empat anaknya yang masih kecil, berusia 6 hingga 12 tahun, pantas bertindak membawa ibunya yang berkerusi roda, keluar.


“Suami saya cuba padam api dengan menjirus air menggunakan baldi, tapi api terlalu cepat marak.


“Dalam masa lima minit sahaja rumah kami sudah dipenuhi api. Mujur ketika kejadian tiada angin kencang, jika tidak pasti rumah jiran turut terbakar.


“Segala barangan seperti peralatan elektrik, gajet, pakaian, perabot, dokumen dan dua motosikal musnah di mana dianggarkan lebih RM200,000 kerugian dialami,” katanya.


Menurutnya, dia tidak pasti punca kebakaran itu, namun tiga jam sebelum kejadian, kawasan kampung berkenaan terputus bekalan elektrik.


“Disebabkan hari semakin gelap, ayah memasang lilin di dalam rumah dan memanggil orang untuk memeriksa kotak utama elektrik.  


“Tiba-tiba terdengar bunyi seperti dahan pokok menghempap rumah dan ketika sedang mencari dari mana datang bunyi itu, anak saya terlihat asap di bilik ayah,” katanya.


Meskipun sedih dengan ujian itu, namun dia tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.


“Rumah pusaka ini terlalu banyak kenangan dan nostalgia buat kami sekeluarga, tapi saya reda.


“Saya tidak pasti punca kejadian sama ada daripada api lilin atau masalah pendawaian. Jadi saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]