Jual apa sahaja, pasti laku

in Edisi by


RANTAU PANJANG – Jual apa sahaja di Rantau Panjang, pasti laku habis. Ia bukan suatu yang pelik di Rantau Panjang kerana penduduk yang tidak mempunyai pengalaman berniaga sekalipun, turut mengambil peluang menjana pendapatan dengan menjual minuman dan makanan ringan di kawasan banjir.


Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk mula menjaja sekitar jam 12 tengah hari iaitu ketika penduduk mula memenuhi kawasan banjir.


Penjaja, Mohd Khairil Azwa, 30, berkata, dia mampu meraih hampir RM600 sehari dengan menjual minuman dan sate ikan.


Menurutnya, dia mula menjaja sejak beberapa tahun lalu, selepas melihat pendapatan yang diperoleh rakan sekampung setiap kali musim tengkujuh.


“Juallah apapun, pelampung, selipar mahupun tikar mesti habis tapi makanan serta minuman paling laku sebab ramai yang penat lepas main air.


“Disebabkan kebanyakan kedai makan dan pasar ditutup juga menyumbang kepada kehadiran pengunjung untuk beli makanan yang dijaja di kawasan banjir,” katanya.


Khairil berkata, dia hanya akan menutup kedai selepas pengunjung pulang ke rumah menjelang Isyak.


Kebiasaannyanya Khairil berkata, pengunjung mula memenuhi kawasan banjir di sini antara jam 4 petang sehingga 7 malam.


Sementara itu, penduduk, Saufi Mohd Zain, 31, berkata, dia yang baru sahaja tiba di kampung selepas perjalanan dari Kuala Lumpur turut tidak ketinggalan membawa dua anaknya bermain di Simpang Tiga Banggol Kulim.


“Lokasi di sini juga selamat untuk kanak-kanak kerana jauh dari Sungai Golok malah arusnya tenang. Anak-anak bukan saja nak main air, mereka mudah lapar sebab itu saya dah sedia duit awal-awal,” katanya.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]