Nadma cari alternatif selesai banjir termenung

in Nasional by


SETIU – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mencari alternatif bagi mengatasi masalah banjir termenung di seluruh negara.


Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Nadma, Zainal Azman Abu Seman berkata, pihaknya telah mengenalpasti beberapa kawasan yang mengalami masalah berkenaan.


Menurutnya, di Terengganu Nadma melihat keadaan itu berlaku di Kampung Nyatoh, setiu dan juga di Kuala Belara, Kuala Terengganu.


“Masalah ini bukan sahaja berlaku di Terengganu malah di beberapa kawasan di Perak dan juga Johor yang turut mengalami masalah sama iaitu banjir termenung.


“Ia juga menyebabkan penduduk terpaksa tinggal di pusat pemindahan banjir dalam jangka masa panjang,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau keadaan banjir termenung di Kampung Nyatoh, di sini, semalam.


Menyentuh mengenai keadaan banjir termenung di Kampung Nyatoh, Zainal berkata, masalah itu menyebabkan penduduk di 10 rumah di kampung itu termasuk sebuah tahfiz terpaksa dipindahkan apabila berlaku hujan lebat.


“Ia disebabkan pembentung sedia ada di kampung ini terlalu kecil dan tidak dapat menampung jumlah air yang banyak untuk mengalirkan air ke sungai dengan cepat.


“Kita telah mengambil cadangan daripada penduduk untuk membina terusan berbentuk jambatan supaya air dapat mengalir,” katanya.


“Kita harap dapat capai satu penyelesaian dan memang ini hasrat Perdana Menteri dan Pengarah Nadma untuk kita selesaikan masalah di lapangan seperti di Kampung Nyatoh,” katanya.


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]