Remaja PPR cuci kandang gajah

in Edisi by


KUALA GANDAH – Pengalaman baharu buat peserta program modal insan, ‘Secebis Prihatin Sejuta Impian’ apabila diberi peluang mendekati gajah melalui tugasan akhir membersihkan kandang gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, di sini hari ini.


Semua peserta berperanan sebagai sukarelawan bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan tunjuk ajar daripada pihak pengurusan pusat berkenaan.


Dibahagikan kepada dua kumpulan, satu kumpulan diberikan tugasan di kawasan kandang gajah dewasa dan satu lagi di kandang anak gajah yang juga kawasan yang boleh dilawati orang ramai.

Para peserta ketika sesi pembersihan kandang gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah.


Para peserta juga diberikan taklimat operasi pusat itu di mana kesemua gajah di situ merupakan yang ditemui dan diselamatkan setelah tercicir dari kumpulan dan habitat asal.


Program yang membabitkan penglibatan remaja Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di Gandah Forest Park di sini, itu berlangsung sejak Selasa.


Program berkonsep motivasi dan pembinaan sahsiah diri ini bertujuan mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran masa depan dengan bimbingan tiga pakar motivasi.


Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang tiga hari program itu dilaksanakan dan turut mendapat kerjasama Sinar Harian Edisi Selangor/KL dan Kelab Sahabat Generasi Dinamik Malaysia (Genesis) sebagai penganjur bersama.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]