Sembunyi kerambit tepi pinggang

in Semasa by


JASIN – Tiga lelaki berumur 20 hingga 30 an ditahan berikutan memiliki senjata berjadual (kerambit) di lampu isyarat Lebuh AMJ Batu Gajah Merlimau di sini.


Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketiga-tiga saspek mengakui membawa senjata tersebut hanya untuk mempertahankan diri bukan untuk kegunaan lain.


Menurutnya, mereka ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta jenis Proton Saga BLM.


“Polis berkenaan yang sedang bertugas menaiki kereta peronda menyalakan lampu beacon dan mengarahkan saspek berhenti di tepi jalan.


“Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan menunjukkan kad kuasa, anggota berkenaan menjalankan siasatan dan mendapati terdapat dua bilah kerambit beserta sarung di pinggang saspek pertama yang diselitkan di pinggang sebelah kiri dan kanan.

Arshad menunjukkan beberapa bilah kerambit yang dimiliki saspek.


“Manakala pemeriksaan keatas saspek kedua, telah menjumpai sebilah kerambit beserta sarung diselitkan di belakang pinggang. Bagi saspek ketiga, tiada barang salah dijumpai di badannya,” katanya.


Tambah Arshad, ketiga-tiga saspek juga positif dadah jenis methamphetamine.


“Tangkapan dibuat pada jam 4.15 pagi pada 24 November itu bagaimanapun mendapati saspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.


“Tetapi kita percayai senjata digunakan untuk tujuan pergaduhan atau jenayah lain,” katanya dalam sidang media di IPD Jasin tadi.


Pada masa sama, Proton Saga jenis BLM warna putih berkenaan turut dirampas berikutan terdapat laporan mengenai kehilangan motokar itu selain sebatang anak kunci motokar.


Ketiga-tiga saspek berasal dari Pasir Gudang dan Kuala Terengganu itu direman bermula 24 November lalu sehingga kini.


Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]